comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Tender bangun infrastruktur platform e-invois dibuka minggu ini – LHDN

Oleh: Amanda Lopez

KUALA LUMPUR: Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) akan mengeluarkan garis panduan e-invois yang mengandungi butiran diperlukan, cara prosesnya dan syarikat terlibat pada hujung minggu ini.

Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Mohd Nizom Sairi berkata tender bagi pembangunan infrastruktur platform e-invois ini juga akan dibuka minggu ini.

“Selalunya tender ini mengikut syarat Perbendaharaan. Kalau tak silap saya, tempoh tender terbuka mesti 21 hari. Selepas tempoh 21 hari ia ditutup dan seterusnya ke peringkat penilaian dan akan melalui proses penganugerahan kepada mereka yang berjaya. (Bila tender ini akan dibuka?) Dalam minggu ini. Semua akan diiklankan. Ketika ini, kami bekerja dalam satu jadual yang ketat, namun kami yakin berada dalam landasan betul ke arah pelaksanaan e-invois itu nanti.” kata beliau selepas Sesi Fakta bersama Dewan Perniagaan Sikh Dunia, Malaysia (WSCCM) pagi tadi.

Inisiatif baharu e-invois ini diwajibkan secara berperingkat mulai 1 Jun 2024 bermula dengan syarikat berpendapatan RM100 juta setahun.

Pada tahun 2025 pula, e-invois ini akan membabitkan syarikat berpendapatan RM50 juta setahun, seterusnya diperluas ke syarikat berpendapatan RM25 juta setahun pada tahun 2026 dan akhirnya merangkumi semua perniagaan pada tahun 2027.

Platform e-invois ini akan menggunakan model kawalan transaksi berterusan atau Continuous Transaction Control (CTC) di mana e-invois ini akan melalui proses validasi sebelum ia dikeluarkan.

“Proses validasi ini berlaku pantas. Contohnya apabila kita melihat pada apa yang dilaksanakan di Mexico, mereka dah ada lebih 10 tahun pengalaman, dalam satu saat, lebih dua juta transaksi boleh diproses agar ia tidak mengganggu perjalanan perniagaan. Ia macam masa sebenar, masukkan invois dan terus pelanggan akan mendapat invois yang disahkan.” jelasnya lagi.

Kata beliau, fokus LHDN bagi e-invois adalah untuk mendapatkan maklumat lebih cepat dan menyeluruh. Apa yang penting, ia akan menjadikan pengurusan cukai itu dalam masa nyata (real-time).

“Inisiatif e-invois ini dilihat akan dapat memperbaiki dan menutup ruang di mana ada kelemahan dan kebocoran dari segi hasil. Kita sedia maklum mengenai “shadow economy” iaitu ekonomi yang bergerak di bawah radar sektor bukan formal, dantidak dapat dikesan. Justeru, cukai tidak dapat dikutip namun dalam e-invois ini, akhirnya semua akan terpaksa berurusan dalam situasi itu dan berada dalam radar LHDN.” katanya.

Menurut beliau,  dengan hilangnya kebocoran cukai, kerajaan akan meningkatkan hasil dan mampu menurunkan kadar cukai secara teori.

“Saya dah bekerja di LHDN dari tahun 1985, pada masa itu kadar cukai lebih daripada 30% tapi ia turun, turun..Mengapa ia turun? Ia  kerana mekanisme kutipan cukai bertambah baik. Justeru, apabila kutipan pendapatan cukai meningkat, kerajaan mampu untuk menurunkan kadar cukai.” katanya.

Loading...
Terkini