comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

TM giat runding perjanjian harga Internet borong

Foto Reuters

KUALA LUMPUR: Telekom Malaysia Bhd (TM) sedang giat berunding dengan penyedia perkhidmatan Internet untuk mencapai persetujuan susulan pelancaran Tawaran Akses Rujukan (RAO) baharu berkaitan dengan harga borong rangkaian Jalur Lebar Berkelajuan Tinggi (HSBB).

Syarikat telekomunikasi itu berkata, penggunaan Standard Mandatori Mengenai Harga Capaian (MSAP) untuk kadar borong, yang dijangka bermula September ini, akan menggalakkan penyedia perkhidmatan menawarkan pakej Internet yang lebih baik.

“Selepas pengumuman TM mengenai penambahbaikan kadar jalur lebar borong RAO pada 28 Julai, kami mengadakan rundingan dengan pencari akses (penyedia perkhidmatan) untuk mencapai persetujuan yang memenuhi keperluan mereka.

“Memandangkan penambahbaikan positif pada kadar borong baharu, kami berharap ini akan menggalakkan mereka untuk menawarkan pakej Internet yang lebih baik dalam pasaran, seperti yang dinyatakan oleh Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil,” katanya kepada Bernama.

TM berkata, perjanjian dengan penyedia perkhidmatan Internet dan pihak lain yang ingin melanggan RAO TM bagi harga borong akan kelaknya memberi manfaat kepada pengguna akhir runcit mereka.

“Namun begitu, buat masa ini masih terlalu awal bagi kami untuk mendedahkan butiran terperinci mengenai tawaran itu, dan ia akan diumumkan dalam masa terdekat,” tambahnya.

Pada Isnin, Fahmi berkata harga Internet dijangka menjadi lebih murah selepas pelaksanaan MSAP yang seterusnya akan membawa kepada pengurangan harga borong Internet dan pakej yang lebih murah.

Beliau berkata, satu dasar baharu iaitu ‘di mana ada jalan, di situ ada Internet’ akan diperkenalkan bagi memastikan masyarakat mendapat akses Internet dengan lebih meluas.

Pada 11 Julai, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), badan kawal selia yang mengeluarkan MSAP berkata, pengurangan harga runcit bagi perkhidmatan jalur lebar tetap berdasarkan MSAP hanya boleh dilaksanakan selepas perjanjian capaian ditandatangani dalam kalangan penyedia perkhidmatan.

Loading...
Terkini