comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

TM rekod keuntungan lebih rendah RM330.1 juta

Foto : NSTP

KUALA LUMPUR: Telekom Malaysia Bhd (TM) mencatatkan prestasi yang stabil dan memberangsangkan pada suku pertama berakhir 31 Mac 2023, berbanding tempoh yang sama pada tahun sebelumnya meskipun berdepan pelbagai cabaran tahun ini.

Hasil operasi meningkat dua peratus kepada RM2.95 bilion berbanding RM2.89 bilion pada 2022, didorong oleh Unifi dan TM Global.

TM menyaksikan peningkatan jumlah pelanggan dengan Unifi kini menyediakan perkhidmatan kepada hampir 3.5 juta kediaman dan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), TM One dengan 8,800 perniagaan, dan TM Global dengan lebih 700 pelanggan tempatan dan serantau.

Perolehan sebelum faedah dan cukai (EBIT) bagaimanapun dilaporkan lebih rendah 15.5 peratus kepada RM473.3 juta, daripada RM560.4 juta, berikutan keputusan kumpulan untuk mempercepatkan susut nilai dan kemerosotan nilai aset teknologi maklumat (IT), disebabkan perubahan keadaan pasaran.

Keuntungan selepas cukai dan kepentingan tanpa kawalan (PATAMI) juga turun 2.9 peratus kepada RM330.1 juta daripada RM339.9 juta.

Kos kewangan bersih yang lebih rendah dan kadar cukai berkesan yang lebih rendah daripada pengiktirafan aset cukai tertunda mengurangkan kesan EBIT yang lebih rendah ke atas keuntungan keseluruhan kumpulan.

Perbelanjaan modal berjumlah 14 peratus daripada hasil keseluruhan, atau RM413.1 juta.Sebahagian besar daripada pelaburan ini adalah untuk memperkukuh infrastruktur fiber, menyampaikan pemerolehan pelanggan baharu, pelaburan kabel dasar laut antarabangsa dan pelaksanaan rangkaian fiber 5G untuk memenuhi sasaran kerajaan iaitu kadar liputan 80 peratus menjelang akhir tahun.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TM, Datuk Imri Mokhtar, berkata 2023 dijangka menjadi tahun yang mencabar dengan perubahan dalam landskap kawal selia, peningkatan persaingan dan perubahan struktur pasaran yang lain.

Beliau berkata, TM akan terus mengukuhkan perniagaan terasnya agar mampan secara komersial sebagai syarikat senaraian awam di samping terus menyumbang kepada pertumbuhan negara melalui peranannya sebagai syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Loading...
Terkini