comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

UK sifatkan minyak sawit Malaysia sebagai mampan

Foto: NSTP

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Perdagangan dan Pertanian (TAC) yang juga kumpulan penasihat pakar kepada kerajaan United Kingdom (UK), menyifatkan minyak sawit Malaysia sebagai mampan dan langkah mengenakan cukai berkadar sifar bagi komoditi itu dapat memberi manfaat.

Dalam kenyataan hari ini, Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC), Belvinder Sron, berkata laporan terbaharu oleh pakar bebas berkenaan juga membuktikan bahawa komitmen Malaysia terhadap kemampanan adalah jelas dan skim pensijilan Minyak Sawit Mampan (MSPO) merupakan satu piawaian emas bagi pensijilan lestari komoditi terbabit.

“Hakikat mengenai komitmen Malaysia terhadap kecemerlangan minyak sawit adalah jelas. MSPO adalah piawaian emas bagi pensijilan minyak sawit mampan dan dapat memberi jaminan kepada kedua-dua pihak pengimport dan pihak berkuasa UK bahawa kesemua aspek perundangan telah dipenuhi dan tiada usaha pembersihan hutan dilakukan.

“Malaysia menerajui dunia dalam pensijilan minyak sawit mampan dan kita berharap dapat membekal lebih banyak minyak sawit berkualiti ke pasaran UK dan lain-lain,” katanya.

Malah, MPOC juga menyifatkan bahawa berkata analisis kumpulan pakar itu turut merumuskan keperluan kemampanan MSPO telah dipenuhi dan melangkaui ketetapan perundangan UK.

“Wujud manfaat untuk UK sekiranya lebih banyak minyak sawit Malaysia dieksport berikutan terdapat piawaian lebih tinggi di Malaysia berbanding negara-negara lain. (Oleh itu), UK perlu meneruskan rancangan berkaitan kadar cukai sifar ke atas minyak sawit Malaysia.

“TAC menyediakan khidmat nasihat pakar kepada kerajaan UK susulan penyertaan negara itu dalam Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) pada 2023. Malaysia adalah antara negara pengasas CPTPP,” katanya.

Sehubungan itu, MPOC menyifatkan laporan pakar yang terperinci itu jelas membolehkan kesemua syarikat pembekal domestik dan antarabangsa ke pasaran UK untuk yakin sepenuhnya terhadap peranan MSPO sebagai mekanisme pengesahan tulen bagi pasaran negara maju berkenaan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini