comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Untung bersih Alliance Bank naik kepada RM177.10 juta pada suku ke-3 

KUALA LUMPUR: Alliance Bank Malaysia Bhd mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM177.10 juta pada suku ketiga berakhir 31 Dis 2022 (suku ketiga), meningkat daripada RM151.02 juta dicatatkan pada suku tahun sama pada setahun yang lepas.

Perolehan dalam tempoh tersebut meningkat kepada RM496.55 juta berbanding RM480.18 juta sebelum ini, katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Alliance Bank Kellee Kam berkata bank telah menunjukkan pertumbuhan yang berdaya tahan, terutamanya dalam segmen perniagaan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) apabila bahagian pasarannya meningkat kepada lima peratus daripada 3.4 peratus dalam tempoh empat tahun.

“Formula kami untuk berjaya dalam segmen PKS kini akan dibawa ke segmen, sektor dan ekosistem lain yang menarik.

“Kami meneruskan momentum dalam segmen PKS selain meluaskan ‘challenger mindset’ yang sama ini kepada bidang pertumbuhan tinggi lain yang dikenal pasti,” katanya.

Kam berkata antara keutamaan baharu di bawah strategi pertumbuhan Acceler8 ialah memacu pemerolehan yang lebih tinggi dalam segmen pengguna seperti profesional muda dan pelanggan bernilai tinggi termasuk meningkatkan pertumbuhan gadai janji bank.

“Melangkah ke hadapan, bank menyasarkan untuk meningkatkan pinjaman penggunanya melebihi kadar pertumbuhan industri. Ia juga akan lebih giat melibatkan kawasan kejiranan di mana ia beroperasi melalui rangkaian cawangannya,” katanya.

BERNAMA

Loading...
Terkini