comscore
Tumpuan :
Dunia Seni

Industri kreatif digesa hasil karya tidak sentuh sensitiviti

Oleh: Mas Zharif Zhafri Aziz Desa

PETALING JAYA: Penggiat filem dan drama digesa menghasilkan karya yang baik dengan tidak mengundang sensitiviti masyarakat majmuk di negara ini.

Lembaga Penapisan Filem (LPF) mendapati ada segelintir pemain industri kreatif yang melanggar garis panduan yang ditetapkan.

“Sebenarnya kita mengeluarkan sesuatu filem itu disamping kreativiti itu sendiri, kita perlu melihat perasaan emosi pihak penonton juga yang terdiri daripada kanak-kanak, golongan beragama, golongan sosio-budaya itu sendiri.”

Pengerusi LPF, Mohamad Khir Mat Lazim

“Kadang-kadang ia tersentuh dan tidak dapat diterima oleh masyarakat, maknanya penerimaan itu bukan pada pihak LPF sahaja tetapi masyarakat umum juga melihat filem itu sendiri,” kata Pengerusi LPF, Mohamad Khir Mat Lazim.

Mohd Khir ditemui ketika bersama delegasi melakukan kunjungan hormat ke atas Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Televisyen Media Prima dan Primeworks Studio, Nini Yusof di Sri Pentas, di sini siang tadi.

Tambahnya, LPF sentiasa berusaha dari semasa ke semasa dalam memberi kepuasan kepada penonton dan juga pembikin filem.

Pelbagai inisiatif turut dilakukan seperti mengadakan sesi libat urus dan penerangan bersama pihak terbabit agar lebih memahami keperluan semasa sekali gus memangkin perkembangan industri perfileman negara.

Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Televisyen Media Prima dan Primeworks Studio, Nini Yusof

Sementara itu, Nini berkata Media Prima Berhad (MPB) dan LPF sentiasa bekerjasama dalam melakukan penapisan kendiri terhadap penerbitan kandungan yang dihasilkan.

“Kami ingin memahami peraturan baharu ataupun pertukaran yang patut kami lebih peka dan yang paling penting pihak MPB dan LPF ada kerjasama yang erat.”

“Ia membantu pihak kami ataupun bahagian pencipta kandungan untuk menerbitkan rancangan yang penuh pengisian tetapi juga lebih on-trend dengan cita rasa penonton sekarang,” ujar Nini.

Terdahulu dalam kunjungan itu, delegasi LPF turut dibawa melawat studio bagi penerbitan berita untuk TV3, TV9 dan 8TV.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini