comscore
Tumpuan :
Nasional

Isu tayangan Filem Pulau – Komen LPF dan Penerbit Filem

Rata-rata netizen terkejut dengan paparan wanita berpakaian seksi termasuk berbikini dan adegan intim ala Hollywood, malah, ada yang mengklasifikasikan naskhah terbabit sebagai ‘soft porn’ yang dianggap keterlaluan dan bercanggah dengan nilai moral bagi filem tempatan. Foto: NSTP

KUALA LUMPUR: Lembaga Penapis Filem, LPF Kementerian Dalam Negeri (KDN) mendapati terdapat perbezaan antara kandungan treler filem Pulau yang dikongsikan di dalam media sosial dengan kandungan yang dikemukakan untuk penapisan.

Treler filem berkenaan telah ditayangkan secara dalam talian (melalui platform internet), maka menurut LPF, kandungan treler yang ditayang adalah di luar bidang kuasa mereka.

Isu filem Pulau mendapat perhatian masyarakat Malaysia selepas promosi filem itu dimulakan melalui perkongsian poster dan sedutan filem menerusi media sosial.

Filem berkenaan menurut LPF merupakan sebuah filem seram dan bukan filem porno seperti yang digembar-gemburkan.

LPF sentiasa peka dengan tatasusila serta sosiobudaya masyarakat Malaysia dan melaksanakan penapisan filem sebagaimana yang ditetapkan dalam garis panduan.

Chong berkongsi, hasratnya hanyalah mempromosikan keindahan pulau di Malaysia dan tidak berniat ‘menjual’ adegan panas seperti dakwaan ramai.

Sementara itu, Penerbit filem Pulau, Fred Chong menyangkal dakwaan ‘menjual’ adegan panas dalam naskhah itu demi menarik penonton.

Chong berkata, pihaknya tidak berniat untuk menyentuh sensitiviti mana-mana pihak.

Justeru, Chong menggesa orang ramai menonton filem itu terlebih dahulu sebaik ditayangkan, sebelum melontarkan kritikan.

“Hasrat kami hanyalah mempromosikan keindahan pulau di Malaysia dan tidak berniat ‘menjual’ adegan panas seperti dakwaan ramai.

“Kami ada perancangan membawa Pulau ke pasaran luar. Ini dapat membantu mempromosikan tempat menarik di Malaysia.

“Jadi, mungkin kerana itu, filem ini mendapat kelulusan LPF,” katanya kepada BH Online.

Bagaimanapun, Chong berkata, ada babak dalam filem itu disunting kerana tidak sesuai dengan penonton tempatan.

“Memang ada beberapa babak dipotong di mana kerja itu dilakukan, tahun lalu.

“Saya tidak sangat filem ini menimbulkan polemik. Bagi saya, penampilan pelakon wanita dalam filem itu adalah sesuai dengan lokasinya iaitu di pulau,” katanya.

Chong berkata, adalah normal untuk untuk pengunjung pantai atau pulau berbikini.

“Jadi, saya tampilkan pelakon berbilang bangsa mengikut kesesuaian watak dan babak.

“Mereka yang ingin tahu sama ada filem ini melampau atau tidak kenalah tonton terlebih dahulu.

“Jika tidak, tentu LPF tidak luluskan filem ini untuk tayangan,” katanya.

Diminta mengulas gesaan sesetengah pihak seperti pendakwah dan pelayar internet yang meminta Pulau disekat daripada memasuki pawagam, Fred berkata keputusan tertakluk di tangan LPF.

“Saya yakin LPF ada pegawai berkaliber. Keputusan untuk menayangkan Pulau bukan terletak di tangan saya.

“Sebagai pembikin filem, saya cuba patuhi syarat dan undang-undang penerbitan filem di Malaysia.

“Jadi tentu ada alasan kenapa LPF meluluskan filem ini untuk tayangan,” katanya.

Sebagai penerbit filem, tambah Chong, dia sentiasa memperjuangkan kisah rakyat Malaysia yang pelbagai bagi mencerminkan budaya sebenar negara ini .

Filem pertama terbitan Chong, Nasi Lemak 2.0 yang diterbitkan pada 2011, memaparkan unsur kepelbagaian budaya dari sudut hidangan paling popular di negara ini iaitu nasi lemak.

Sebuah lagi filem dihasilkan Chong, Juang mengambil ilham daripada episod pandemik COVID-19 yang melanda negara.

Juang mengisahkan barisan hadapan berbilang kaum yang bersatu untuk membantu rakyat menghadapi detik sukar dalam sejarah negara.

Pulau mengangkat kepelbagaian budaya dengan sasaran generasi baharu selain mempromosikan pulau indah dengan pemandangan eksotik seperti dipaparkan dalam trailer.

Terdahulu, sebaik trailer filem Pulau yang mengisahkan kembara sekumpulan anak muda ke sebuah pulau berhantu dimuat naik di YouTube, lima hari lalu, laman sembang kecoh dengan kritikan netizen yang mempersoalkan bagaimana naskhah arahan Euho itu lulus tayangan pawagam.

Rata-rata netizen terkejut dengan paparan wanita berpakaian seksi termasuk berbikini dan adegan intim ala Hollywood, malah, ada yang mengklasifikasikan naskhah terbabit sebagai ‘soft porn’ yang dianggap keterlaluan dan bercanggah dengan nilai moral bagi filem tempatan.

Kontroversi dicetuskan filem Pulau turut mendapat perhatian Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) yang menggesa Lembaga Penapis Filem (LPF) mengkaji semula kelulusan tayangan filem terbabit.

Loading...
Terkini