comscore
Tumpuan :
Dunia

Ceroboh ruang udara Jepun, Korea Utara lancar ICBM lagi

Foto: EPA

SEOUL: Korea Utara melancarkan peluru berpandu balistik antara benua (ICBM) hari ini, sehari selepas menembak peluru berpandu lebih kecil dan memberi amaran mengenai ‘tindak balas tentera lebih ganas’ terhadap Amerika Syarikat (AS).

Korea Utara memecahkan rekod bagi program peluru berpandu bersenjata nuklear negara itu selepas menyambung semula ujian ICBM buat kali pertama sejak 2017, sebagai bantahan terhadap AS yang meningkatkan kehadirannya di rantau ini.

Negara itu juga melanggar moratorium kendiri berhubung pelancaran peluru berpandu jarak jauh, selepas rundingan nyah nuklear terhenti.

Pengawal Pantai Jepun berkata peluru berpandu itu berkemungkinan mendarat di laut kira-kira 210 kilometer (km) ke barat Hokkaido.

Perdana Menteri Jepun, Fumio Kishida, berkata setakat ini tidak ada laporan kerosakan, namun tindakan berulang Korea Utara melancarkan peluru berpandu itu tidak boleh diterima.

Beliau berkata, peluru berpandu itu didakwa mendarat di dalam zon ekonomi eksklusif (EEZ) Jepun.

ICBM ialah senjata jarak jauh Korea Utara dan direka bagi membawa hulu peledak nuklear ke mana-mana lokasi dan berupaya sampai ke benua AS.

ICBM mempunyai jarak minimum kira-kira 5,500km dan direka untuk penghantaran senjata nuklear, malah mampu melakukan perjalanan sejauh 10,000km atau lebih.

Tahun ini, Korea Utara menjalankan beberapa ujian peluru berpandu balistik diharamkan oleh resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC), yang mengenakan sekatan ke atas negara itu membabitkan program peluru berpandu dan senjata nuklearnya.

Pelancaran ICBM semalam dilakukan ketika Naib Presiden AS, Kamala Harris, berada di Thailand untuk sidang kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC), di tengah ketegangan geopolitik berhubung perang di Ukraine dan ketegangan di Taiwan serta Semenanjung Korea. – REUTERS

Loading...
Terkini