comscore
Tumpuan :
Dunia

Indonesia dan Jepun kukuhkan kerjasama dalam sektor automotif

Foto: Agensi

JAKARTA: Indonesia dan Jepun memperkukuh kerjasama dalam sektor pembuatan kenderaan elektrik (EV), bahan api neutral karbon dan biofuel bagi meningkatkan industri automotifnya.

Menurut kenyataan Kementerian Perindustrian Indonesia, usaha itu juga selaras dengan sasaran kerajaan untuk mengurangkan tahap pelepasan gas rumah hijau hampir 32 peratus menjelang 2030.

“Sebagai antara negara terbaik dalam industri automotif dunia, kami percaya kerjasama dengan Jepun dapat menyokong usaha kami ke arah mencapai neutral karbon,” kata pengarah elektronik dan jentera kementerian itu Taufiek Bawazier.

Semasa Dialog Automotif Indonesia-Jepun keempat yang diadakan di sini baru-baru ini, Taufiek berkongsi gambaran keseluruhan industri automotif negara, matlamat pembangunan EV dan industri bateri.

Wakil Kementerian Ekonomi, Perdagangan dan Industri Jepun (METI) dan pengeluar kereta Jepun turut menghadiri sesi dialog itu.

Sementara itu, Enomoto Masato, pengerusi Asia Experts Group di Japan Automotive Manufacturers’ Association Asia mencadangkan ‘pendekatan pelbagai laluan’ untuk mencapai ‘pelepasan karbon sifar’ di Indonesia.

Data Persekutuan Automotif ASEAN (AAF) memaparkan jualan kereta Indonesia pada 2022 berjumlah 1,048,000 unit berbanding 887,202 unit pada 2021.

Dari segi pembuatan kereta, negara mencatatkan pertumbuhan 31 peratus iaitu 1,470,146 unit berbanding 1,121,967 unit pada 2021. – BERNAMA

Loading...
Terkini