comscore
Tumpuan :
Dunia

Insiden Halloween: Hanya seorang rakyat Malaysia cedera

Datuk Seri Saifuddin Abdullah

KUALA LUMPUR: Kementerian Luar mengesahkan hanya seorang warganegara Malaysia dilaporkan cedera dalam insiden rempuhan di Itaewon, Korea Selatan pada Sabtu lalu, tetapi mangsa sudah menerima rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Universiti Joogang, Seoul dan kini berada dalam keadaan stabil.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Abdullah, berkata setakat ini tiada rakyat negara ini yang terkorban dalam kejadian yang menyebabkan lebih 150 orang terbunuh itu.

Beliau berkata, Kedutaan Besar Malaysia di Seoul menghubunginya bagi memaklumkan perkembangan terkini dengan menghulurkan bantuan konsular termasuk memudah cara urusan perjalanan ibu dan bapa mangsa ke Korea.

“Kedutaan Besar Malaysia di Seoul akan terus memantau insiden itu dan akan memaklumkan sebarang perkembangan terkini dari semasa ke semasa,” katanya dalam kenyataan.

Warganegara Malaysia yang terjejas akibat insiden berkenaan dan memerlukan bantuan konsular dinasihatkan berhubung dengan Kedutaan Besar Malaysia di Seoul melalui telefon: 00(822) 795 9203 / 2077-8600, +82 010 8974 8699 (kecemasan konsular selepas jam 5 petang/cuti umum) atau e-mel [email protected].

Dalam kejadian malam Sabtu lalu. lebih 150 orang terbunuh dalam rempuhan maut ketika sambutan Halloween di daerah Itaewon, Seoul.

Seorang pelajar Thailand berusia 27 tahun yang ke Korea Selatan untuk belajar bahasa Korea adalah antara yang terbunuh ketika insiden itu. – BERNAMA

Loading...
Terkini