comscore
Tumpuan :
Dunia

Lion Air tersenarai sebagai syarikat penerbangan terburuk dunia

Foto: Agensi

JAKARTA: Syarikat penerbangan yang berpangkalan di Indonesia, Lion Air dinamakan sebagai syarikat penerbangan antarabangsa terburuk di dunia dengan mencatatkan skor keseluruhan hanya 0.72, lapor laman berita Kompas kelmarin.

Berdasarkan senarai dikeluarkan laman kaji selidik pesawat, Bounce, selain Lion Air, satu lagi syarikat penerbangan dari Indonesia, Wings Air, berada pada kedudukan kedua terburuk daripada 50 syarikat penerbangan antarabangsa seluruh dunia.

“Lion Air mencatatkan tahap ketepatan masa hanya 42.27 peratus dengan kadar pembatalan penerbangan sebanyak 34.43 peratus,” demikian menurut kenyataan pada laman web Bounce.

Menurut laporan, satu pertiga daripada penerbangan Lion Air dibatalkan dalam tahun ini.

Selain itu, dari segi perkhidmatan makanan dan hiburan dalam penerbangan, Lion Air diberi markah sebanyak 1 daripada 5. Dari segi keselesaan tempat duduk dan layanan kru penerbangan pula, skor yang diperoleh adalah 2 daripada 5.

Wings Air dalam masa sama menerima skor 2 daripada 5 untuk layanan kru penerbangan dan keselesaan kerusi di samping 1 daripada 5 bagi makanan dan hiburan.

Syarikat penerbangan dari Indonesia yang turut memasuki senarai terburuk adalah Batik Air pada kedudukan ke-17 dengan skor ketepatan waktu sebanyak 62.64 peratus di samping pembatalan jadual penerbangan sebanyak 16 peratus.

Turut memasuki senarai syarikat penerbangan terburuk di belakang Lion Air dan Wings Air adalah Flydubai, AirAsia India, Shenzhen Airlines, VivaAerobus, Wizz Air, Ryanair, AirAsia Malaysia dan Volaris.

Skor keseluruhan dinilai berdasarkan beberapa faktor termasuk ketepatan waktu, rekod pembatalan penerbangan, kepuasan hati pelanggan, penawaran bagasi percuma, hiburan dalam penerbangan dan layanan kru penerbangan. – AGENSI

Loading...
Terkini