comscore
Tumpuan :
Dunia

Lonjakan kes Sindrom Guillain-Barre: Peru isytihar darurat kesihatan

Foto : Agensi

LIMA: Kerajaan Peru pada Sabtu mengisytiharkan darurat kesihatan selama 90 hari berikutan “peningkatan luar biasa” kes sindrom Guillain-Barre yang kini mencatat 165 kes dengan empat kematian, lapor Xinhua.

Dekri itu yang diterbitkan dalam warta rasmi El Peruano, memperincikan pelan tindakan dengan bajet sebanyak 12.12 juta sol (US$3.3 juta) bertujuan untuk meningkatkan penjagaan pesakit di kemudahan kesihatan, mengukuhkan kawalan kes dan menyediakan bahan bermaklumat untuk penduduk dan kakitangan kesihatan.

Antara langkah-langkah yang diambil termasuk pemerolehan ‘immunoglobulin intravena’ dan ‘albumin’, serta diagnosis khusus berkaitan sindrom berkenaan dan bantuan pengangkutan udara untuk pesakit dalam keadaan kecemasan atau kritikal.

Sindrom Guillain-Barre adalah gangguan yang jarang berlaku di mana sistem imun badan menyerang sebahagian daripada sistem saraf periferi.

Setakat tahun ini, sekurang-kurangnya 18 daripada 24 jabatan di negara ini telah melaporkan sekurang-kurangnya satu kes sindrom itu.

Lonjakan luar biasa dalam kes penyakit yang jarang berlaku dalam tempoh yang singkat “menjejaskan kesinambungan perkhidmatan kesihatan kerana tiada sumber strategik yang mencukupi untuk bertindak balas terhadap jumlah dan kerumitan kes di kemudahan kesihatan,” menurut dekri itu. – BERNAMA-XINHUA

Loading...
Terkini