comscore
Tumpuan :
Jenayah

[VIDEO] ‘Ingatkan bekerja di Amsterdam, rupanya jadi mangsa sindiket Macau Scam di Peru’

 

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

SEPANG: Keghairahan sekumpulan 43 anak muda tempatan untuk bekerja di luar negara dengan tawaran gaji lumayan memakan diri apabila mereka menjadi mangsa pemerdagangan manusia sindiket Macau Scam di Peru.

 

Timbalan Menteri Luar, Datuk Mohamad Alamin berkata, taktik licik sindiket adalah menawarkan pekerjaan di sektor perhotelan dan kasino dengan gaji lumayan mencecah RM7000 sebulan menerusi media sosial.

“Modus operandi sindiket adalah dengan menawarkan insentif lumayan, tiket penerbangan percuma, penginapan percuma, makan minum percuma.  Kumpulan 43 orang ini, mereka diterbangkan dari Kuala Lumpur pada 29 September lalu melalui Amsterdam, Belanda dan terus ke Peru. Mereka tak tahu mereka dibawa dan bekerja di Peru. Mereka difahamkan akan berlepas (dan bekerja di) Amsterdam sahaja, rupanya tiba ke Peru,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menyambut ketibaan kumpulan pertama seramai tiga orang mangsa sindiket tersebut, di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1, di sini hari ini.

Kementerian Luar sebelum ini memaklumkan, seramai 43 rakyat Malaysia yang menjadi mangsa sindiket Macau Scam berjaya diselamatkan polis Republik Peru dalam serbuan di rumah di La Molina, Lima pada 7 Oktober lalu.

Sementara itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dilaporkan berkata, mangsa terbabit akan dirakam keterangan oleh polis sebaik tiba di negara ini bagi mengenal pasti sindiket berkenaan.

Ujarnya, ini adalah kes pertama yang dilaporkan membabitkan rakyat Malaysia dibawa ke Peru oleh sindiket penipuan, yang sebelum ini kebanyakan kes membabitkan rakyat Malaysia dilarikan ke Laos, Kemboja, Myanmar dan Filipina.

Mengulas lanjut, Mohamad berkata, mangsa berusia di antara 18 hingga 30-an dan berasal dari Selangor, Sarawak, Johor, Kedah, Sabah serta Kuala Lumpur.

Tambahnya, Kedutaan Besar Malaysia di Lima akan menyelaras urusan penghantaran pulang baki seramai 37 mangsa lain yang dijadual tiba di tanah air secara berkumpulan pada 28, 29, 30 Oktober dan 1 November ini.

Dalam masa sama, tiga mangsa masih ditahan pihak berkuasa Peru untuk proses siasatan lanjut berdasarkan undang-undang tempatan.

Beliau turut meminta ahli keluarga tidak bimbang kerana kesemua mangsa terbabit dalam keadaan selamat.

“Kita tak dapat maklumat apa kerja sebenar mereka, mereka belum sampai tahap untuk bekerja, tapi kita dapat kesan ini adalah Macau Scam. Polis Diraja Malaysia (PDRM), polis Peru dan Kedutaan Besar Malaysia di Peru bertindak cepat dengan kerjasama Kedutaan Besar Peru di Malaysia, dan sempat menyelamatkan mereka sebelum kejadian lebih parah berlaku.

“Ini adalah satu kejayaan yang dapat kita capai untuk melumpuhkan sindiket Macau Scam yang berada di Peru dalam keadaan yang begitu cepat.

“Saya bagi pihak Kerajaan Malaysia dan Kementerian Luar ingin mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Republik Peru, PDRM, polis Peru dan Kedutaan Besar Peru di Malaysia di atas kerjasama yang diberikan sehingga kita dapat mengesan dan membawa balik insya-Allah kesemua mangsa,” katanya.

Menurut Mohamad, kerajaan dan pihak kementerian akan melipatgandakan usaha untuk meningkatkan kepekaan masyarakat berhubung tawaran pekerjaan palsu di luar negara serta sindiket jenayah ini.

Beliau juga mahu orang ramai supaya tidak terpedaya dan menjadi lebih berwaspada, selain menyemak ketulenan tawaran pekerjaan.

“Kita ingin meningkatkan lagi Program Seranta dan kempen melalui media sosial di peringkat Kementerian Luar dan saya percaya agensi kerajaan lain akan mengambil langkah sama antaranya PDRM akan melipatgandakan kempen kesedaran ini.

“Saya ingatkan sekali lagi kepada masyarakat awam supaya lebih berwaspada dan peka, jangan mudah percaya dengan tawaran diberikan untuk bekerja di luar negara,” katanya.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini