comscore
Tumpuan :
Dunia

Pemakaian simbol berkaitan perang Israel-Palestin di Singapura boleh didenda dan penjara 

SINGAPURA: Memakai atau menayangkan secara umum logo berkaitan perang Israel-Palestin tanpa permit di Singapura menjadi satu kesalahan, menurut Kementerian Dalam Negeri (MHA).

MHA dalam amarannya menegaskan, mereka yang didapati bersalah boleh dikenakan hukuman penjara sehingga enam bulan dan denda sehingga SGD$500 (RM1,722) di bawah Akta Logo Kebangsaan Asing (Kawalan dan Paparan) 1949.

Undang-undang berkenaan merangkumi semua logo kebangsaan asing termasuk bendera dan kain rentang mana-mana negara, malah pengembara asing yang memakai logo seumpamanya boleh dinafikan kemasukan ke Singapura.

MHA berkata ia sedar bahawa pakaian dan barangan tertera simbol atau logo kebangsaan asing berkait perang Israel-Palestin sedang dijual dalam talian, dipakai atau ditayangkan oleh orang awam.

Pemeriksaan akhbar The Straits Times mendapati barangan seumpamanya, yang menyokong kedua-dua pihak bertelagah, dijual dalam talian menerusi pelbagai media sosial dan laman sesawang e-dagang.

MHA, dalam nota nasihatnya, berkata perang Israel-Palestin yang berlaku sekarang adalah isu yang mempengaruhi emosi dan menasihati orang ramai supaya jangan menayangkan atau memakai barangan berkaitan konflik berkenaan.

Bagi yang mahu membantu mangsa konflik itu, MHA berkata mereka boleh menyumbang kepada pihak yang diamanahkan mengutip sumbangan dana atau derma bagi tujuan bantuan kemanusiaan.

Parti Tindakan Rakyat (PAP), Parti Pekerja (WP) dan Parti Kemajuan Singapura (PSP) turut mengutuk kekejaman terhadap orang awam dalam perang Israel-Palestin.

Sementara itu, perhimpunan di Sudut Penceramah berhubung isu berkaitan perang Israel-Palestin adalah menyalahi undang-undang dan dilarang sama sekali.

Menteri bagi Hal Ehwal Dalam Negeri, Muhammad Faishal Ibrahim, dalam ucapannya di Parlimen pada Isnin, berkata dalam tempoh tiga tahun ini, tujuh permohonan seumpamanya di Sudut Penceramah Hong Lim Park ditolak.

Katanya, lima daripada permohonan itu adalah khusus bagi acara berkaitan perang Israel-Palestin. – AGENSI

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini