comscore
Tumpuan :
Dunia

Pemeriksaan cecair, komputer riba di lapangan terbang akan dimansuhkan

Foto Reuters

LONDON: United Kingdom bakal memansuhkan pemeriksaan ketat ke atas cecair dan komputer riba di dalam beg kabin di semua lapangan terbang di negara itu.

Memetik laporan BBC, ia dijangka dilaksanakan dalam tempoh dua tahun lagi apabila penggunaan alat pengimbas 3D berteknologi tinggi digunakan sepenuhnya di negara itu.

Kerajaan United Kingdom dikatakan mempertimbang menggunakan pengimbas lebih maju menjelang pertengahan 2024 meskipun keputusan muktamad belum dibuat.

Difahamkan, pengimbas berteknologi tinggi itu memiliki fungsi sama seperti pengimbas yang digunakan di hospital untuk memberikan gambaran lebih jelas akan isi kandungan beg.

The Times melaporkan barisan Menteri UK menjalankan perbincangan dan pengumuman dijangka dibuat menjelang perayaan Krismas dalam usaha mengurangkan barisan panjang di lapangan terbang.

Pada masa ini, jumlah cecair di dalam beg kabin tidak boleh melebihi 100 mililiter dan perlu diletakkan di dalam beg plastik lutsinar.

Peraturan itu diperkenalkan 16 tahun lalu selepas rancangan pengganas membawa bahan letupan dalam bekas air minuman berjaya dikesan pihak berkuasa.

Namun, alat pengimbas 3D dilaporkan mampu membawa perubahan kepada dasar tersebut.

Pengimbas 3D telah diuji di Lapangan Terbang Heathrow bermula 2017 dan teknologi ini telah digunakan di lapangan terbang Hartsfield-Jackson Atlanta dan O’Hare Chicago di Amerika Syarikat selama beberapa tahun.

Loading...
Terkini