comscore
Tumpuan :
Dunia

Perdaya Pelabur, YouTuber Popular Thailand Melarikan Diri Ke Luar Negara

BANGKOK: YouTuber terkenal Thailand yang mendakwa sebagai peniaga forex (tukaran mata wang asing) dilaporkan berjaya melarikan diri ke luar negara, selepas didakwa menipu ribuan pelabur membabitkan penipuan AS$77 juta (kira-kira RM344.7 juta).

The Straits Times melaporkan, Natthamon Khongchak, lebih dikenali sebagai ‘Nutty The YouTuber’ itu menipu lebih 6,000 mangsa.

Menurut Phaisal Ruangrit, seorang peguam yang berkempen untuk membantu mangsa penipuan berkenaan, terdapat juga seorang mangsa mendepositkan kira-kira 18 juta baht (kira-kira RM2.2 juta) kepada Natthamon.

Pada 24 Ogos, peguam itu yang mengetuai kira-kira 30 mangsa memfailkan aduan terhadap Natthamon kepada Bahagian Penindasan Jenayah Ekonomi.

YouTuber itu dikatakan menggunakan popularitinya untuk memikat mangsa dengan janji pulangan yang tinggi dalam masa singkat.

Akaun YouTube Natthamon, yang bertajuk Nutty’s Diary, mempunyai lebih 800,000 pengikut tetapi klip terakhir sudah disiarkan kira-kira lima bulan lalu.

Dia dipercayai menjemput orang ramai untuk mendepositkan wang dalam akaunnya, menjanjikan pulangan 25 peratus untuk kontrak tiga bulan, 30 peratus untuk kontrak enam bulan dan 35 peratus untuk kontrak 12 bulan.

Dia dipercayai berjanji untuk membayar pulangan setiap bulan.

Bagaimanapun, pada April, pelanggannya mula mengadu bahawa mereka tidak menerima bayaran seperti yang dijanjikan.

Pada 28 Ogos lalu, laman Facebook popular Drama-addict menyiarkan bahawa Natthamon dipercayai sudah melarikan diri ke luar negara.

Laman itu mendakwa, ia menerima maklumat bahawa Natthamon melarikan diri ke Malaysia.

Loading...
Terkini