comscore
Tumpuan :
Dunia

Peserta Miss Universe Indonesia diminta tanggalkan pakaian dalam & diambil gambar – Peguam

FOTO Facebook Miss Universe Indonesia

JAKARTA: Diminta menjalani ‘pemeriksaan badan’ tanpa baju oleh penganjur, enam peserta pertandingan Miss Universe Indonesia memfailkan aduan kepada polis.

Menurut peguam mewakili peserta itu, Mellisa Anggraeni, anak guamnya mendakwa penganjur melakukan gangguan seksual dengan menyuruh lima daripada mereka menanggalkan pakaian dalam untuk pemeriksaan fizikal di dalam bilik, dengan lebih 20 orang turut berada di situ, termasuk lelaki.

Mereka kemudian diambil gambar dalam keadaan sedemikian.

Polis mengesahkan bahawa peserta memfailkan laporan itu dan ia akan disiasat, lapor The Straits Times yang memetik Reuters.

Pertandingan ratu cantik itu diadakan di ibu negara Jakarta dari 29 Julai hingga 3 Ogos.

Pertubuhan Miss Universe dalam satu kenyataan pada Selasa berkata, pihaknya dimaklumkan mengenai dakwaan itu dan sedang meneliti perkara berkenaan.

“Miss Universe memandang serius dakwaan gangguan seksual. Menyediakan tempat selamat untuk wanita adalah keutamaan Pertubuhan Miss Universe,” katanya.

Seorang pengadu memberitahu pada sidang akhbar yang disiarkan oleh saluran berita Kompas TV, bahawa dia diminta untuk bergambar secara tidak wajar, termasuk dengan melebarkan kakinya.

“Saya rasa seperti sedang diintai. Saya sangat keliru dan tidak selesa,” kata wanita yang tidak disiarkan namanya itu dan penyiar televisyen turut mengaburkan wajahnya.

Reuters cuba menghubungi syarikat yang mengendalikan pertandingan Miss Universe Indonesia, PT Capella Swastika Karya dan pengasas syarikat itu, Poppy Capella melalui akaun media sosial mereka, tetapi tiada respon.

Reuters tidak dapat mencari butiran talian hubungan untuk jurucakap syarikat.

Pertubuhan Miss Universe juga tidak segera menjawab permintaan menerusi e-mel untuk komen mengenai dakwaan itu.

Jurucakap polis Jakarta, Trunoyudo Wisnu Andiko berkata, laporan daripada peserta diterima pada Isnin dan ia akan disiasat.

Kumpulan agama di Indonesia, negara dengan penduduk Islam paling ramai di dunia, pada masa lalu membantah pertandingan ratu cantik.

Taikun media selebriti Thailand dan peguam bela hak transgender, Jakapong ‘Anne’ Jakrajutatip membeli Pertubuhan Miss Universe pada harga AS$20 juta (kira-kira RM91.6 juta), tahun lalu.

Pertandingan di Jakarta diadakan bagi memilih penyertaan Indonesia untuk pertandingan Miss Universe yang akan diadakan di El Salvador, akhir tahun ini.

Pertandingan oleh Pertubuhan Miss Universe yang kini dimiliki bersama oleh Donald Trump antara 1996 dan 2002 itu, berlangsung sejak 1952.

Loading...
Terkini