comscore
Tumpuan :
Dunia

Timur Ukraine dihujani bedilan mortar, artileri, peluru berpandu

 

KHERSON: Tentera Russia cuba untuk menawan timur Ukraine dengan bedilan bertubi-tubi kereta kebal, mortar, artileri, meriam dan peluru berpandu ke atas Kherson di selatan, menurut tentera Ukraine.

Menurut Kakitangan Am Angkatan Tentera Ukraine, tentera Russia cuba mara lebih jauh dan membedil beberapa bandar, termasuk Bakhmut dan berdekatan Soledar dan Opytne, di wilayah Donetsk di timur Ukraine, iaitu lokasi pertempuran paling sengit.

Sementara itu, di selatan, tentera Russia mengambil kedudukan pertahanan dan menyasarkan serangan kereta kebal, mortar dan tembakan artileri ke atas kedudukan Ukraine dan di ibu kota Kherson, yang ditinggalkan tentera Russia pada awal November.

Jurucakap tentera udara Ukraine, Yuriy Ignat, berkata pasukan pertahanan berjaya menembak jatuh 340 daripada sekitar 400 dron buatan Iran yang dilancarkan Russia sepanjang pencerobohannya.

“Kami tidak lagi melihat dron Iran ini sejak dua minggu lalu, mungkin bekalan penghantaran pertama sudah habis,” katanya kepada stesen televisyen utama Ukraine.

Pertempuran lain dilaporkan di timur laut dan tengah Ukraine, menandakan serangan terhebat Russia sejak menceroboh Ukraine sembilan bulan lalu, kata tentera.

Menteri Luar Ukraine, Dmytro Kuleba, berkata negaranya memerlukan sistem pertahanan peluru berpandu Patriot buatan Amerika Syarikat (AS) untuk melindungi infrastruktur awamnya, yang diserang oleh Russia pada permulaan musim sejuk.

Malah, Setiausaha Negara AS, Antony Blinken, berkata Presiden Russia, Vladimir Putin, dilihat menumpukan serangan terhadap penduduk awam Ukraine, sekali gus memberi amaran kepada Russia bahawa strateginya untuk memecahbelahkan penyokong Ukraine akan gagal.

“Haba, air, elektrik ini adalah sasaran baharu Putin, yang menggunakannya sebagai ‘senjata’ terhadap penduduk Ukraine, ini perbuatan yang amat teruk dan sangat biadab,” kata Blinken pada sidang akhbar di Bucharest selepas mesyuarat Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) selama dua hari.

Bagaimanapun, Timbalan Ketua Pentadbiran Presiden Ukraine, Kyrylo Tymoshenko, berkata bekalan elektrik sudah dipulihkan kepada 65 peratus pengguna di Kherson.

Sementara itu, Setiausaha Agung NATO, Jens Stoltenberg, berkata sekutu Barat berjanji untuk membantu Moldova, Georgia dan Bosnia-Herzegovina ketika mereka menghadapi tekanan daripada Russia, pada mesyuarat menteri luar NATO.

Di Washington, kontrak bernilai AS$1.2 bilion (RM5.3 bilion) bagi enam Sistem Peluru Berpandu Nasional Darat Ke Udara (NASAMS) untuk Ukraine sudah diberikan kepada Raytheon, menurut Pentagon.

Susulan itu, jurucakap Kementerian Luar Russia, Maria Zakharova, berkata keputusan itu menunjukkan NATO ‘sama sekali tidak berminat dalam penyelesaian politik dan diplomatik di Ukraine’.

Sementara itu di Sepanyol, media memetik sumber polis, mengatakan syarikat pembuat senjata, Instalanza, di Zaragoza, yang menghasilkan pelancar roket C90 yang Sepanyol bekalkan kepada Ukraine, menerima sebuah pakej yang mencurigakan.

Terdahulu, seorang pengawal keselamatan di Kedutaan Ukraine di Madrid cedera semalam selepas bom surat dialamatkan kepada duta yang dibukanya meletup, sekali gus meletakkan semua kakitangannya di luar negara dalam keadaan berjaga-jaga. – REUTERS

Loading...
Terkini