comscore
Tumpuan :
Dunia

[VIDEO] Wartawan cedera dalam serangan bom di utara Afghanistan

 

MAZAR-I-SHARIF: Seorang pengawal keselamatan terbunuh, manakala sekumpulan wartawan serta beberapa kanak-kanak cedera dalam letupan bom di bandar Mazar-i-Sharif di utara Afghanistan semalam, menurut laporan polis dan seorang saksi.

Letupan itu berlaku dua hari selepas seorang pengebom berani mati membunuh gabenor Taliban di wilayah Balkh utara dalam serangan yang didakwa oleh kumpulan Daesh.

Serangan ke atas Mohammad Dawood Muzammil di ibu kota wilayah Balkh, Mazar-i-Sharif pada Khamis lalu menandakan pembunuhan salah seorang pegawai tertinggi sejak Taliban kembali berkuasa pada 2021.

Letupan semalam berlaku pada acara menghormati media Afghanistan di sebuah pusat kebudayaan di Mazar-i-Sharif.

Menurut polis, seorang pengawal keselamatan terbunuh dan lima wartawan adalah antara yang cedera.

“Saya mendengar dentuman kuat. Kemudian berlaku keadaan kelam kabut berikutan semua orang cuba mencari jalan menyelamatkan diri,” kata wartawan Afghanistan, Atif Arian, yang cedera dalam letupan itu kepada AFP.

“Sebilangan wartawan cedera parah,” kata jurucakap polis, Balkh Mohammad Asif Waziri sambil memaklumkan tiga kanak-kanak antara yang tercedera.

Letupan semalam berlaku pada acara menghormati media Afghanistan di sebuah pusat kebudayaan di Mazar-i-Sharif. – Foto agensi

Arian berkata, letupan berlaku ketika sekumpulan kanak-kanak menyanyikan lagu, beberapa minit selepas seorang pegawai Taliban menyampaikan ucapan.

Wartawan Afghanistan sering menjadi sasaran sebelum Taliban merampas semula kuasa, dengan beberapa serangan didakwa oleh Daesh.

“Menyasarkan wartawan yang berada dalam suatu acara untuk menghormati mereka adalah tindakan yang keji dan pengecut.

“Taliban perlu menyiasat segera insiden ini dan membawa pelaku ke muka pengadilan serta menamatkan impuniti bagi mereka yang menyasarkan wartawan,” kata Pengarah Program Asia di Jawatankuasa Melindungi Wartawan, Beh Lih Yi.

Sehingga kini, tiada kumpulan mengakui melakukan serangan itu.

Keganasan di seluruh Afghanistan dilaporkan menurun sejak Taliban merampas kawalan tetapi keselamatan kembali merosot, dengan Daesh mendakwa pihaknya melakukan beberapa serangan maut.

Gabenor Balkh, Muzammil dibunuh oleh pengebom berani mati Daesh beberapa minit selepas beliau tiba di pejabatnya di Mazar-i-Sharif.

Kumpulan jihad itu muncul sebagai cabaran keselamatan terbesar kepada kerajaan Taliban sejak tahun lalu, melakukan serangan terhadap orang awam Afghanistan serta warga asing dan kepentingan asing.

Taliban dan Daesh berkongsi ideologi Islam Syiah yang ketat, tetapi kedua pihak itu berjuang untuk menubuhkan ‘khalifah’ global dan bukannya matlamat Taliban untuk memerintah Afghanistan yang merdeka. – AFP

Loading...
Terkini