comscore
Tumpuan :
Gaya Hidup

Pernah sembelih 23 haiwan korban dalam sehari

Sabry menunjukkan koleksi parang yang digunakan untuk menyembelih daging korban di kediamannya di Taman Seremban Jaya. FOTO: NSTP

SEREMBAN: “Sepanjang pengalaman, saya pernah menyembelih sebanyak 23 haiwan korban sehari pada 2012. Itu yang paling banyak,”

Itu pengalaman yang dikongsi pesara tentera Sabry Leman, 65, sebagai tukang sembelih selama 42 tahun ketika berkhidmat dalam tentera di Kem Sungai Besi di ibu negara pada 1982.

Sabry mengakui tidak cukup tangan memenuhi permintaan orang ramai untuk menyembelih haiwan korban sempena Aidiladha.

“Saya fikir selepas bersara mahu berehat, tetapi dilantik menjadi imam di Masjid Nurul Hidayah dan Masjid Saidatina Khadijah di Senawang, selain terus menjadi tukang sembelih sehingga sekarang.

“Apabila ada majlis keraian, korban dan aqiqah, penduduk minta saya sebagai tukang sembelih. Biasanya setiap kali sambutan Aidiladha, saya paling sibuk,” katanya ketika ditemui di kediamannya.

Bagi memastikan perjalanan penyembelihan berjalan lancar dan memenuhi tuntutan Islam, Sabry, 65, memiliki hampir 40 parang khas bagi tujuan berkenaan.

Jelas pesara tentera itu, disebabkan banyak haiwan korban yang perlu disembelih, dia terpaksa menggunakan parang yang berbeza bagi memastikan semuanya berjalan lancar.

“Pertamanya, setiap kali sembelih seekor lembu, parang mesti dibersihkan dan tidak boleh ada darah. Jadi ia memakan masa, justeru saya akan tukar ke parang lain pula.

“Kedua, parang mesti dalam keadaan tajam bagi memastikan kita tidak menganiaya atau menyakiti haiwan korban. Ia juga bagi memastikan daging lembut apabila dimakan.

Setakat ini, beliau sudah membelanjakan kira-kira RM15,000 untuk membeli parang yang ditempah khas.

“Parang paling murah berharga RM270 dan paling mahal, RM900. Kebanyakannya ditempah daripada besan saya di Kota Belud, Sabah.

Saya memang berpuas hati dengan hasil kerja tangannya,” katanya.

Beliau berkata, menyembelih haiwan korban adalah ibadah dan perlu mempunyai ilmu dengan menghadiri kursus selain ilmu dan teknik daripada individu tertentu.

“Saya sendiri menghadiri kursus dan pernah diberikan watikah seumur hidup oleh mufti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur serta Negeri Sembilan.

“Selain teknik yang betul, terdapat beberapa pantang larang. Antaranya ketiak dan celah kelangkang tidak boleh berbau, bermakna kita perlu jaga kebersihan diri.

“Tidak boleh pegang pisau dengan keras dan menahan nafas, selain perlu ada berada dalam keadaan berwuduk.

Semua bersebab, sebab itu saya kata sembelih haiwan korban satu ibadah, tidak boleh main-main,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini