comscore
Tumpuan :
Hiburan

Kritikan pedas rosakkan industri muzik

KUALA LUMPUR: Pengarah muzik dan komposer terkenal, Aubrey Suwito berpandangan segala bentuk kritikan pedas dan boleh memalukan peserta dalam program realiti terbitan tempatan, perlu dihentikan.

Aubrey berkata, biarpun cara itu boleh menyebabkan program tular, namun pada masa sama, ia boleh merosakkan industri muzik dan menjatuhkan air muka peserta.

“Lagi pedas komen, lagi bagus… Panas! Viral! Sudah boleh jadi isu.

Nampaknya, penonton juga suka dengan konsep seperti itu.

“Pada fikiran saya, cara sebegitu boleh menjejaskan perkembangan artis yang dikritik dan industri muzik Malaysia secara keseluruhannya.

“Masalah ketara yang dapat dilihat daripada aspek muzik adalah genre muzik sering kali berbeza dan memerlukan kekuatan, cara dan bakat yang berbeza.

“Adakah anda menjangkakan pemain bola boleh bermain hoki dan tenis yang hebat?” katanya melalui luahan dikongsi di Facebook.

Tambah komposer lagu Layarkan Kembali nyanyian Dayang Nurfaizah itu, mentaliti konon penyanyi perlu menguasai semua genre lagu tidak seharusnya wujud.

Ini kerana, bagi Aubrey, kemahiran itu bukanlah suatu jaminan menjadi penyanyi yang bagus.

“Sebagai contoh, irama keroncong memerlukan vokal yang besar tapi penuh kelembutan, kena tahu lenggok dan dinyanyikan dalam keadaan santai.

Rock perlukan nada suara yang agak keras dan kurang lenggok… Nampak tak perbezaannya?

“Tentu sahaja ada artis yang boleh menyanyikan pelbagai jenis genre dengan mudah. Tetapi, adakah itu penting dan yang kita sebenarnya mahukan?

“Adakah kita meminati Anuar Zain dan Datuk Sheila Majid kerana mereka penyanyi versatil? Hakikatnya, setiap minggu program hiburan televisyen (TV) mengharapkan artis menjadi penyanyi versatil.

“Bagi semua genre lagu untuk mereka nyanyikan dan mengharapkan mereka dapat memberikan suatu persembahan.”Kalau Blackpink datang sini, adakah kita mengharapkan mereka boleh menyanyikan lagu asli? Kelakar tak?” katanya.

Sehubungan itu, Aubrey yang sering menjadi pilihan Datuk Seri Siti Nurhaliza sebagai pengarah muzik, berharap stesen penyiaran dapat berfikir secara rasional.

Baginya, penyiar perlu meraikan kepelbagaian bakat daripada memaksa mereka menjadi penyanyi versatil.

“Boleh tak kita ubah fokus dengan mengetengahkan kekuatan dan keunikan artis berbanding mengaibkan mereka.

“Benar, mengaibkan itu bagus untuk program TV dan ia memerlukan pengetahuan yang cukup luas dalam muzik untuk memberi kritikan membina dan tepat.”Tidak semua orang ada ilmu itu.

Cuma, sepanjang berada dalam industri, saya belajar kaedah berlembut lebih membantu daripada komen pedas dan kasar.”Apapun, kepada artis yang pernah dikritik di TV, bangkitlah.

Perbaiki diri dan berpegang teguh pada kekuatan muzik dan gaya sendiri.

“Jika anda perlu untuk menyertai rancangan seperti ini dan dikritik, ketahuilah program itu yang rosak dan bukannya kamu,” katanya.

Sejak Ahad lalu, kontroversi tercetus selepas pasangan sepupu, Naim Daniel dan Sissy Imann dikritik juri tetap Mas Idayu pada konsert minggu keenam Famili Duo di Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, Shah Alam.

Persembahan Naim dan Sissy yang menyanyikan lagu Jampi dengan susunan muzik keroncong gagal memikat hati juri dan menerima komen pedas hingga Sissy mengalirkan air mata lalu tular.

Loading...
Terkini