comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Jangan suka-suka buat onar di Shah Alam.. anda diperhatikan

Oleh: Izzatie Rizan

SHAH ALAM: “Lazimnya sebut sahaja kamera litar tertutup (CCTV), ada yang ‘hidup segan, mati tak mahu’.

“Bila nak digunakan, baru sedar ia tidak berfungsi”.

Oleh kerana tidak mahu situasi itu menjadi satu kebiasaan, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) memastikan kualiti CCTV yang dipasang benar-benar ditahap maksimum.

Kecanggihan teknologi itu dapat memantau dengan jelas aktiviti tidak sihat selain mampu menghantar amaran banjir.

Bukan hanya puluhan kamera, tetapi ratusan CCTV telah dipasang untuk memantau kesemua lokasi berisiko di Shah Alam.

Berkongsi kepada Buletin TV9, Timbalan Datuk Bandar Shah Alam,Ir. Cheremi Tarman berkata secara totalnya sebanyak 204 CCTV dipasang bagi pemantauan selama 24 jam.

Dengan kos RM122 juta, CCTV ini diletakkan di lokasi hot spot banjir sekitar Shah Alam sekaligus membolehkan usaha menyelamat mangsa dilakukan dengan lebih sistematik.

“Sekiranya berlaku kejadian banjir, kita akan dapat kesan terus dan info itu akan disalurkan terus di media sosial kelolaan MBSA.

Penduduk juga akan diberitahu perkembangan dari semasa ke semasa apa yang sedang berlaku,”katanya.

Antara lokasi pemasangan CCTV berkenaan termasuklah di Seksyen 25 atau Taman Sri Muda, Seksyen 13, TTDI Jaya dan Setia Alam.

CCTV yang dilengkapi teknologi sensor mengesan kenaikan paras air ini turut mempunyai dwi fungsi iaitu memantau kegiatan pembuangan sampah haram serta salah laku lain.

“Ingin saya tekankan kalau ada pesalah yang melakukan kesalahan..segalanya akan dirakam dengan jelas termasuk no plat kenderaan.

Ini kerana kamera yang berspesifikasi 5mp ini berkeupayaan zoom objek dari jarak jauh,”katanya.

Mengenai persiapan banjir, beliau berkata sebanyak 36 projek yang telah, sedang dan akan dimulakan melibatkan tiga fasa bermula tahun lepas dengan menumpukan kepada kawasan yang pernah dilanda banjir teruk seperti Taman Sri Muda, Stadium Shah Alam, Jalan Kebun dan beberapa kawasan di Klang Utara.

Jelasnya lagi, kesemua pegawai dan kakitangan telah bersiap sedia untuk menghadapi kemungkinan berlaku banjir menjelangnya Monsun Timur Laut ini.

Loading...
Terkini