comscore
Tumpuan :
Dunia

‘Oppenheimer’ Filem Terbaik Anugerah Academy 2024

Pengarah, Christopher Nolan dan penerbit, Emma Thomas dan Charles Roven di atas pentas selepas Oppenheimer diumumkan pemenang Filem Terbaik Anugerah Academy di Los Angeles, Amerika Syarikat, hari ini – Foto: Reuters

LOS ANGELES: Filem blockbuster ‘Oppenheimer’ dinobatkan Filem Terbaik di Anugerah Academy (Oscars) 2024 di Los Angeles, Amerika Syarikat, hari ini.

Filem biopik itu turut membawa pulang anugerah Pengarah Terbaik menerusi Christopher Nolan dan Pelakon Lelaki Terbaik (Cillian Murphy).

Ini adalah anugerah Oscar pertama buat Nolan, selepas dicalonkan beberapa kali dalam kategori Pengarah Terbaik sebelum ini, antaranya menerusi filem ‘Inception’ dan ‘Dunkirk’.

Christopher Nolan menang Pengarah Terbaik Anugerah Academy ke-96 menerusi filem ‘Oppenheimer’ – Foto: Reuters

Manakala Robert Downey Jr. yang turut membintangi filem berkenaan, dinamakan Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik.

Berkisarkan drama sains dan politik, ‘Oppenheimer’ dengan tidak dijangka, menjadi laris di box office global dan meraih lebih 950 juta dolar Amerika, serta mendapat pujian dari pelbagai pihak.

Ia mengetepikan sembilan calon lain termasuklah ‘seteru’ utama, ‘Barbie’.

Antara anugerah lain dimenangi ‘Oppenheimer’ – Sinematografi Terbaik dan Suntingan Terbaik.

Barisan Pelakon Terbaik dan Pelakon Pembantu Terbaik Anugerah Academy 2024 – Foto: Reuters

Sementara itu, Emma Stone menggondol Anugerah Academy kedua dalam kariernya menerusi filem ‘Poor Things’, iaitu Pelakon Wanita Terbaik.

Stone, 35 tahun pernah menang kategori sama menerusi filem muzikal popular 2016, ‘La La Land’.

Anugerah Lagu Asal Terbaik menjadi milik penyanyi dan penulis lirik Britain, Billie Eilish dan Finneas O’Connell, melalui ‘What Was I Made For’ untuk filem ‘Barbie’.

Berikut antara kemenangan lain yang dicatatkan di Anugerah Academy ke-96:

Filem Animasi Terbaik
The Boy and the Heron

Filem Antarabangsa Terbaik
The Zone of Interest

Pelakon Pembantu Wanita Terbaik
Da’Vine Joy Randolph (The Holdovers)

Lakon Layar Adaptasi Terbaik
American Fiction

Lakon Layar Asal Terbaik
Anatomy of a Fall

Anugerah yang dihoskan oleh Jimmy Kimmel turut menyaksikan beberapa bintang Hollywood tampil memakai pin merah sebagai simbol dan gesaan untuk gencatan senjata di Gaza.

Ia termasuklah Mahershala Ali, Billie Eilish, Mark Ruffalo dan Ramy Youssef.

Pasangan adik-beradik, Billie Eilish & Finneas O’Connell menggondol Anugerah Lagu Asal Terbaik – Foto: Reuters

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

 

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini