comscore
Tumpuan :
Hiburan

Pencarian kumpulan muzik baharu sebagai persembahan pembukaan Konsert Jelajah MUSE

Oleh: Juliana Pija Ismail

Kuala Lumpur: Media rasmi bagi konsert Jelajah Dunia Muse Media Prima Audio (MPA) dengan kerjasama penganjur konsert Hello Universe akan mengadakan pencarian kumpulan muzik tempatan baharu untuk menjadi persembahan pembukaan konsert kumpulan itu pada 29 Julai depan.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Hello Universe Adam Asyraf, pemenang akan dipilih sendiri oleh anggota kumpulan rock terkenal dunia itu.

“Ini akan membuka peluang kepada kumpulan muzik tempatan untuk berada diatas satu pentas dengan kumpulan MUSE dan menyokong arena muzik negara.Maklumat lanjut kita akan umumkan selepas Raya” katanya ketika sidang media Pengumuman Lokasi Konsert Jelajah Dunia Muse “Will Of The People”.

Konsert itu akan berlangsung di Bukit Kiara Equestrian Kuala Lumpur dan dijangka menghimpunkan hampir 80 ribu peminat tempatan dan antarabangsa.

Sebagai satu-satunya destinasi eksklusif di rantau Asia yang dipilih oleh kumpulan rock itu, Hello Universe yakin konsert itu mampu mempromosikan Malaysia sebagai destinasi global untuk penganjuran konsert mega.

Pra-jualan tiket akan bermula Khamis ini jam 2 petang melibatkan pembayaran secara ansuran, manakala jualan umum akan dibuka Jumaat ini, jam 10 pagi.

Untuk rekod, kali terakhir kumpulan yang popular dengan lagu “Time Is Running Out” dan “Starlight” itu mengadakan konsert di Malaysia adalah pada tahun 2007, di Stadium Negara, Kuala Lumpur.

Loading...
Terkini