comscore
Tumpuan :
Hiburan

Raysha kini sah bergelar isteri Nabil Jeffri

Raysha dan Nabil bergelar suami isteri dalam majlis tertutup di sebuah hotel, malam ini.

KUALA LUMPUR: Dengan sekali lafaz, pelakon Raysha Rizrose, 27, kini bergelar isteri pelumba kereta Formula 2, Nabil Jeffri, 29, dalam sebuah majlis tertutup di sebuah hotel, di sini, jam 8.52 malam ini.

Pasangan itu dinikahkan bapa pengantin perempuan, Mohd Fariz Arshad dengan disaksikan Pendaftar Nikah Cerai Rujuk, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Ustaz Muhammad Fairudz Saderi.

Dalam majlis yang dihadiri kira-kira 200 tetamu itu, pengantin lelaki menyerahkan mas kahwin bernilai RM2,222 bersama tujuh dulang hantaran berbalas jumlah sama. Bagaimanapun, wang hantaran dirahsiakan.

Raysha atau nama sebenarnya, Farza Naquraisha Mohd Fariz bersyukur segala perancangan berjalan lancar.

“Syukur segala perancangan dipermudahkan. Saya terharu menerima banyak mesej dan doa yang baik-baik dititipkan peminat selepas mengumumkan pertunangan. Semoga fasa baharu ini akan terus mematangkan saya dan suami,” kata finalis Dewi Remaja 2014/2015.

Adik kepada Uqasha Senrose dan Nelydia Senrose itu sempat menyingkap kisah perkenalan yang mekar sejak 10 tahun lalu.

“Kami kenal sejak 2013 menerusi laman Twitter. Ketika itu, saya masih menuntut di sekolah menengah.

“Hubungan sudah tentu ada fasa turun naik selama 10 tahun ini. Namun, kepercayaan dan komunikasi menjadi teras kepada hubungan kami,” kata anak keempat daripada tujuh beradik itu.

Pelakon filem Seandainya Kau Ada itu mendedahkan, Nabil menyatakan hasrat memperisterikannya pada 16 Ogos tahun lalu, sebelum memutuskan mengikat tali pertunangan pada 22 Disember lalu.

“Momen dan detik masih berbekas di hati. Ini kerana lokasi lamaran di tempat sama Nabil melamar saya sebagai kekasih, iaitu di sebuah lokasi di Subang Jaya, Selangor kira-kira sedekad lalu,” katanya.

Mengulas soal bulan madu, pelakon drama Pinggan Tak Retak, Nasi Tak Dingin dan Ex Aku Pontianak itu berkata, dia dan suami belum ada perancangan.

“Banyak komitmen dan kerja yang perlu diselesaikan selepas kahwin. Sebelum majlis nikah, saya masih terikat dengan penggambaran beberapa kempen dan projek yang tidak panjang.

“Sejujurnya, belum ada perancangan berbulan madu saat ini. Soal anak, saya dan suami tidak meletakkan sasaran. Kami percaya rezeki akan datang tepat pada waktunya.

“Cuma, saya perlu lebih selektif memilih watak selepas berkahwin. Saya sudah berubah status, jadi keutamaan tentunya kepada suami,” katanya.

Mengenai Nabil atau nama sebenarnya, Muhammad Nabil Jan Al Jeffri, Raysha menyifatkan suami melengkapi segala-galanya.

“Selama ini, Nabil sentiasa menjadi inspirasi dalam hidup dan mendorong saya menjadi lebih baik,” kata Raysha.

“Raysha sentiasa ada ketika saya memerlukannya. Pada saat berada di tahap paling bawah dan sedih, Raysha tidak pernah berpaling daripada saya.

“Kebijaksanaannya juga menambat hati, malah seorang yang memahami dan matang. Malah, kualiti lain yang mencuri perhatian saya ialah sikapnya yang pandai membawa diri dan menghormati orang.

“Tentunya, Raysha sangat comel dan membuatkan saya jatuh hati dengannya. Raysha juga jujur dan ikhlas dalam apa sahaja dilakukan,” kata Nabil.

Tambah Nabil, Raysha begitu memahami jadual dan tuntutan kerjanya.

“Syukur, jodoh dan cinta kami mekar serta terus erat hingga saat ini. Moga hubungan ini kekal hingga jannah,” kata Nabil.

Terdahulu, pasangan ini melangsungkan pertunangan secara tertutup pada 22 Disember tahun lalu.

Namun, Raysha dan Nabil hanya berkongsi dan mendedahkan cerita pertunangan dalam media sosial pada 14 Februari lalu.

Pasangan itu bakal diraikan dalam sebuah majlis resepsi, Ahad ini.

Loading...
Terkini