comscore
Tumpuan :
Hiburan

Saya akan beraya dengan Syamsul

KUALA LUMPUR: “Apa yang berlaku sekalipun, saya akan beraya dengan abang saya. Saya rancang untuk ke rumahnya dan beraya seperti selalu.

“Demikian kata pengarah, Syafiq Yusof ketika ditanya mengenai sambutan Aidilfitrinya bersama keluarga, terutamanya abangnya, Syamsul Yusof.

Syafiq, 31, juga berharap agar keluarganya dapat meraikan Aidilfitri bersama seperti sebuah keluarga.

“Selalunya, kalau pagi Raya, kami akan berkumpul bersama sebelum masing-masing keluarga beraya. Harapnya, kali ini pun sama.

“Saya harap, keluarga saya kembali seperti dahulu dan dapat berbaik-baik semula. Harapnya, kami semua dapat bermaaf-maafan,” katanya.

Ditanya mengenai keadaan abangnya, Syafiq berkata, dia melihat ada perkembangan positif selepas beberapa perkara sudah diselesaikan.

“Alhamdulillah, saya nampak abang saya pun dah semakin okay dan nampaknya, ada yang sudah selesai.

“Cumanya, sebelum ini, memang saya sangat kesiankan dia. Saya lihat dia diserang dari semua arah dan oleh semua orang.”Saya tak pernah nampak orang yang kena seperti mana abang saya kena, di mana, kerana satu isu, semua orang serang dia,” katanya.

Tambahnya, menjadi tanggungjawabnya untuk terus memberikan sokongan moral kepada Syamsul.

“Kami memang sentiasa berhubung dan saya berikan kata-kata semangat. Saya harap, dia tabah.”Sebagai adik, saya perlu berikan sokongan moral kepadanya. Kalau tidak, dia kena hadap semuanya sendirian,” katanya.

Syafiq kini hadir dengan buah tangan terbaharu dan menggalas tanggungjawab sebagai pengarah untuk filem aksi, Polis Evo 3 yang akan ditayangkan pada 25 Mei ini.

Loading...
Terkini