comscore
Tumpuan :
Isu

Kajian Isu Sekolah Kurang Murid SJKC

Oleh Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Satu kajian mendalam berhubung isu Sekolah Kurang Murid (SKM) bagi Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) akan dilakukan untuk mengetahui dengan lebih menyeluruh masalah, cabaran dan kekangan yang dihadapi sekolah berkenaan.

Timbalan Menteri Pendidikan I, Datuk Dr. Mah Hang Soon berkata, kajian itu dibuat oleh satu daripada tiga jawatankuasa kecil yang diwujudkan di peringkat Kementerian Pendidikan (KPM) bertujuan mencari penyelesaian holistik terhadap isu SKM SJKC di negara ini.

“(Kajian itu penting) supaya kita dapat mengemukakan satu pelan pembangunan bagi membantu dan menyelaras dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia untuk menaikkan lagi taraf pembelajaran dan pengajaran (PdP) di SKM SJKC,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat pertama Jawatankuasa Kerja SKM SJKC, di sini, hari ini.

Jawatankuasa Kerja SKM SJKC melibatkan pelbagai pihak ditubuhkan untuk mencari jalan penyelesaian terhadap pelbagai masalah khususnya jumlah SKM yang semakin serius.

Menurutnya, berdasarkan data diperoleh KPM, ketika ini terdapat 3,017 SKM membabitkan tiga aliran di seluruh negara.

“Daripada segi peratusan, Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) menghadapi masalah SKM tertinggi iaitu 69.6 peratus atau 367 daripada 527 sekolah aliran itu.

“Ia diikuti SJKC yang mempunyai sejumlah 616 atau 47.3 peratus daripada 1,302 sekolah berstatus SKM manakala sebanyak 2,034 atau 34.6 peratus daripada 5,877 Sekolah Kebangsaan (SK) adalah SKM,” katanya.

Mengulas lanjut, Datuk Dr. Mah berkata, jawatankuasa kecil yang turut diwujudkan adalah bagi mencari kaedah untuk membantu, mengadakan interaksi dan mengumpul maklumat daripada Lembaga Pengelola Sekolah berhubung isu tersebut.

Jawatankuasa kecil seterusnya pula akan bertindak untuk menyediakan bahan bacaan bantuan serta aktiviti dan program untuk meningkatkan paras atau mutu PdP untuk SKM.

“Selepas ini ketiga-tiga jawatankuasa kecil itu akan buat kerja dengan segera dan hasilnya akan dibentangkan dalam mesyuarat akan datang dijangka dalam tempoh tiga bulan akan datang.

“Perkara ini sudah dimaklumkan kepada pegawai dan selepas ini langkah selari akan dapat diambil untuk membantu menyelesaikan masalah di SKM SKJC.

“Perbincangan pagi tadi tertumpu kepada SKM di SJKC. Saya juga maklumkan dalam mesyuarat tadi jika sesuai boleh diadakan libat urus SKM bagi aliran lain,” katanya.

Loading...
Terkini