comscore
Tumpuan :
Nasional

MUIP agih RM88.5 juta kepada fakir miskin tahun lalu

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Baitulmal dan Operasi) MUIP, Dr Asmadi Abdul Rahman (kanan) meninjau pembinaan rumah asnaf di Kampung Ubai. – Foto NSTP

KUANTAN: Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) mengagihkan bantuan zakat sebanyak RM80.5 juta kepada golongan fakir miskin tahun lalu.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Baitulmal dan Operasi) MUIP, Dr Asmadi Abdul Rahman, berkata agihan zakat bulanan diberikan kepada 9,071 penerima, bina rumah baharu sebanyak 104 unit dan baik pulih rumah membabitkan 284 unit.

Menurutnya, peruntukan sebanyak RM8.3 juta disediakan bagi mengadakan program dakwah dan pembangunan mualaf membabitkan masyarakat Orang Asli, Cina, India dan lain bangsa.

Katanya, bagi program bantuan kesihatan kepada asnaf perbelanjaan sebanyak RM6.8 juta diberikan kepada 1,652 penerima membabitkan kos rawatan termasuk menyediakan peralatan antaranya seperti kerusi roda, katil, alat bantuan pernafasan dan anggota palsu.

“Peruntukan sebanyak RM20.9 juta diberikan bagi tujuan pembangunan masjid dan surau yang membabitkan pelbagai aktiviti seperti menaik taraf dan menambah kemudahan diperlukan.

“Semakin banyak bayaran zakat diterima setiap tahun, lebih banyak bantuan kepada 48 jenis agihan bantuan zakat kepada golongan asnaf dapat dilakukan oleh MUIP setiap tahun,” katanya, dihubungi di sini semalam.

Beliau menambah, setiap tahun MUIP berusaha menambah bantuan dalam sektor pendidikan, sebagai contoh tahun lalu sebanyak RM30.8 juta diberikan kepada sektor pendidikan yang merupakan asnaf fisabilillah membabitkan beberapa skim bantuan.

Asmadi berkata, minggu lalu MUIP mengagihkan bantuan zakat kepada 45 institusi pendidikan di negeri ini bernilai RM3.7 juta. Ia diberikan kepada 18 sekolah menengah agama negeri, 23 sekolah rendah kebangsaan dan sekolah menengah kebangsaan, masing-masing satu institusi pengajian tinggi (IPT), jabatan kerajaan dan persatuan guru.

Beliau berkata, tahun ini MUIP kali pertama memperkenalkan elaun bulanan sebanyak RM300 kepada 39 Tok Batin beragama Islam di negeri ini.

Menurutnya, tanggungjawab Tok Batin beragama Islam ialah membantu meningkatkan penghayatan Islam dalam kalangan masyarakat Orang Asli di kampung masing-masing. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini