comscore
Tumpuan :
Nasional

Bernard Dompok dilantik Pengerusi SME Corp

KOTA KINABALU: Bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Bernard Dompok dilantik Pengerusi SME Corp yang baharu, berkuat kuasa semalam.

Pelantikan itu diumumkan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick pada Majlis Penyerahan Surat Pelantikan Pengerusi dan Ahli Lembaga Pengarah SME Corp di Putrajaya, semalam.

Ewon berharap pelantikan Dompok, 73, dan ahli lembaga pengarah yang baharu mewakili Dewan Perniagaan Melayu, India, Cina, Kadazandusun dan Dayak dapat membantu kerajaan memberikan perkhidmatan terbaik kepada usahawan kecil dan sederhana (SME) di seluruh negara.

“SME Corp menghadapi cabaran besar memenuhi pelbagai keperluan usahawan SME di seluruh negara tetapi saya percaya dengan gabungan pemimpin baharu dan sedia ada, SME Corp dapat memberikan perkhdimatan yang baik kepada rakyat khususnya usahawan SME,” katanya.

Selain pernah menjadi Ketua Menteri Sabah dari 1998 hingga 1999, Dompok juga pernah memegang pelbagai portfolio dalam kerajaan persekutuan, termasuk Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi serta Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Anggota perbadanan SME Corp yang lain ialah Noor Afifah Abdul Razak, Datuk Dr Zunika Mohamed, Datuk Koong Lin Loong, Bell Aggan @ Bell Ak Bernard Aggan, Datuk Ladislaus Maluda, Ir Ter Leong Leng, Prof Datuk Dr Abdul Razak Omar dan Cham Owi Tong.

Sementara itu, Ewon turut mengulangi komitmennya untuk terus membantu usahawan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), koperasi, penjaja dan peniaga kecil di seluruh negara termasuk fokus tambahan untuk Sabah dan Sarawak.

“Saya sudah mengatakan kepada warga kementerian bahawa tanpa mengurangkan fokus kementerian sedia ada di seluruh negara, saya mahu fokus tambahan untuk Sabah dan Sarawak.

“Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) juga sering menyebut keperluan untuk memberi fokus tambahan kepada Sabah dan Sarawak.

“Dalam mesyuarat Majlis Pembangunan Usahawan dan PMKS Kebangsaan (MPUPK) 2023 yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi baru-baru ini juga bersetuju bukan sahaja fokus tambahan tetapi belanjawan tambahan untuk Sabah dan Sarawak.

“Bukan kita mengabaikan kawasan lain, cuma ada keperluan yang lebih besar untuk kita membantu Sabah dan Sarawak yang selama ini merasakan mereka terpinggir daripada arus pembangunan termasuk dalam bidang keusahawanan,” katanya.

Ewon percaya dengan pelantikan ahli lembaga pengarah yang baharu dan sedia ada mewakili pelbagai kaum dalam pentadbiran SME Corp akan memberi nilai tambah perkhidmatan kepada usahawan di negara ini.

Dalam pada itu, Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Suriani Ahmad berkata, SME Corp adalah antara agensi penting dalam pembangunan keusahawan di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi selain Tekun Nasional untuk usahawan mikro dan Institut Keusahawanan Negara (INSKEN) serta Institut Koperasi Malaysia (IKMA) untuk usahawan.

“Kami di kementerian amat berbangga dan mengalu-alukan Tan Sri Bernard Dompok sebagai pengerusi baharu SME Corp. Beliau bukan sahaja seorang pemimpin yang dikenali tetapi berpengalaman luas dalam pentadbiran negara,” katanya.

Loading...
Terkini