comscore
Tumpuan :
Jenayah

257 ditahan terbabit kes dadah dalam Op Tapis Khas selama 2 hari

Seramai 257 orang ditahan atas pelbagai kesalahan dadah dalam Op Tapis Khas yang dilancarkan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) di seluruh Johor. – FOTO: Ihsan PDRM

JOHOR BAHRU: Seramai 257 orang ditahan atas pelbagai kesalahan dadah dalam Op Tapis Khas yang dilancarkan selama dua hari oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) di seluruh negeri ini.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, seramai 330 orang diperiksa dan mereka yang ditahan membabitkan kes bekalan sebanyak 51 kes, memiliki dadah (50 kes) dan menagih sebanyak 156 kes.

“Seramai 18 suspek yang ditahan juga akan diambil tindakan di bawah Seksyen 39C Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana kesalahan berulang dalam kes dadah.

“Selain itu, turut ditahan dalam operasi ini adalah 24 suspek berstatus orang dikehendaki polis,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Kamarul Zaman berkata, pihaknya turut merampas dadah jenis syabu dengan anggaran berat 54.99 gram, kira-kira 517.39 gram heroin, ganja (75.88 gram), pil erimin 5 (21.90 gram), ketamin (3.63 gram), dua biji pil yaba dan kira-kira 17.5 liter air ketum yang dianggarkan bernilai RM37,376.80.

Kamarul Zaman berkata, seramai 126 orang ditahan dalam tempoh dari 1 Januari lalu hingga kelmarin di bawah Akta Dadah Berbahaya (Langkah-langkah Pencegahan Khas) (LLPK) 1985.

“Mereka ini akan dikenakan perintah tahanan dan sekatan selama dua tahun di Pusat Pemulihan Akhlak.

“Manakala, seramai 592 orang pula turut diambil tindakan di bawah Seksyen 39C Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Menurutnya, Op Tapis Khas yang dijalankan secara berkala bagi mengambil tindakan ke atas semua aktiviti penyalahgunaan dadah dengan memberi fokus kepada kawasan panas seperti di jeti nelayan, projek perumahan rakyat (PPR), lokasi penagih dan kawasan Felda.

“Untuk rekod, seramai 1,478 tangkapan atas pelbagai kesalahan dadah dibuat sepanjang Op Tapis Khas yang dijalankan sepanjang tahun ini.

“Bermula 1 Januari lalu sehingga kelmarin, JSJN Johor berjaya membuat tangkapan seramai 15,307 orang atas pelbagai kesalahan dadah dan dalam tempoh yang sama berjaya membuat rampasan dadah sebanyak 4.74 tan,” katanya.

Sepanjang tempoh itu juga, katanya, keseluruhan dadah yang dirampas adalah bernilai RM33.78 juta dan turut disita pelbagai harta bernilai RM13.15 juta.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini