comscore
Tumpuan :
Jenayah

Eksploitasi seks: 4 wanita warga India mangsa pemerdagangan manusia diselamatkan

Ketua Polis Johor, Komisioner M.Kumar.

JOHOR BAHRU: Polis menyelamatkan empat wanita warga India yang dipercayai menjadi mangsa pemerdagangan manusia untuk tujuan eksploitasi seks, semalam.

Ketua Polis Johor, Komisioner M.Kumar berkata sekumpulan wanita berusia 24 hingga 39 tahun itu diselamatkan sepasukan polis dari Cawangan Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kontinjen Johor dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan, lebih kurang jam 2.15 petang.

Katanya kesemua mangsa diselamatkan hasil serbuan yang dijalankan di sebuah pangsapuri di kawasan Larkin Idaman, di sini.

Dalam serbuan itu, pihak polis juga berjaya menangkap seorang lelaki warga tempatan berumur 32 tahun dan wanita warga India berumur 36 tahun yang dipercayai berperanan sebagai pengurus rumah persundalan dan transporter.

Hasil ujian saringan air kencing mendapati suspek lelaki itu positif dadah jenis methaphetamine.

Tangkap layar tular audio suara mangsa pemerdagangan manusia di laman sosial. – Foto tangkap layar di TikTok.

“Siasatan awal polis mendapati kesemua mangsa datang ke Malaysia dengan tawaran kerja di bahagian teknologi maklumat (IT) dan sebagai pembantu rumah,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Bagimanapun menurut Kumar, kesemua mangsa telah dikurung setibanya di Malaysia dan dipaksa menjadi pelacur dengan bayaran gaji RM2,300 sebulan.

Katanya kejayaan operasi ini adalah hasil risikan pihak polis dan kerjasama maklumat daripada orang awam.

Kedua suspek ditahan reman tujuh hari bermula hari ini hingga 22 Mac depan di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah.

Dua suspek yang ditahan yang disyaki menguruskan rumah pelacuran dan transporter. – FOTO: Ihsan PDRM Johor

Manakala perintah perlindungan sementara bagi kesemua mangsa dibenarkan selama 21 hari bermula hari ini hingga 5 April depan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007, Seksyen 55E Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini