comscore
Tumpuan :
Jenayah

3 ‘tekong darat’ ditahan seludup 20 PATI warga Myanmar

Foto hiasan

KOTA BHARU: Tiga lelaki disyaki bertindak sebagai ‘tekong darat’ ditahan selepas dikesan membawa masuk 20 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Myanmar di Kampung Lundang, di sini, semalam.

Ketiga-tiga mereka ditahan sepasukan anggota Batalion 8 Pasukan Gerakan Am (PGA) kira-kira 12.30 malam kelmarin bersama tiga kenderaan yang membawa 20 PATI termasuk empat wanita di lokasi berkenaan.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun, berdasarkan pemeriksaan semua warga asing terbabit tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri sah sebelum ditahan.

“Siasatan awal mendapati ketiga-tiga lelaki tempatan itu terbabit aktiviti penyeludupan migran serta menyediakan perkhidmatan pengangkutan kepada pendatang asing melalui jalan tidak diwartakan dengan bayaran RM150 seorang.

“Semua tiga suspek itu ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA), manakala 20 migran Myanmar ditahan di bawah Akta Imigresen,” katanya.

Muhamad Zaki berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama agensi penguat kuasa lain di sempadan negara sentiasa berusaha dan melipatgandakan usaha kawalan bagi membanteras sebarang bentuk penyeludupan dan jenayah rentas sempadan.

“Masyarakat juga diingatkan tidak sesekali bersekongkol dan terbabit dalam apa juga bentuk jenayah kerana PDRM sentiasa peka dan komited untuk terus menghapuskan sindiket dan individu yang mendalangi kegiatan ini.

“Sebarang bentuk perkongsian maklumat kepada pihak PDRM adalah sangat dialu-alukan,” katanya. – BERNAMA

Loading...
Terkini