comscore
Tumpuan :
Jenayah

50 ekor lembu mati dipercayai diracun

Oleh Baharudin Mohamed

MELAKA: Seorang penternak terkejut apabila mendapati 50 ekor lembunya mati dipercayai diracun di sebuah ladang sawit di Machap Umboo, Alor Gajah di sini pagi tadi.

Kejadian yang disedari pada jam 7.30 pagi itu mengakibatkan penternak berusia 43 tahun itu kerugian sebanyak RM200,000.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu berkata, siasatan awal mendapati kematian semua lembu itu disyaki berpunca daripada perbuatan khianat pihak tertentu yang tidak berpuas hati terhadap ternakan itu yang menceroboh kebunnya.

Menurut beliau, kejadian dipercayai berlaku antara jam 6.30 petang semalam hingga 7.30 pagi tadi.

“Siasatan mendapati lembu-lembu itu telah menceroboh kawasan tanah kebun tanaman pokok durian kerana terdapat kesan pagar roboh akibat dirempuh haiwan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Arshad, Jabatan Veterinar telah mengambil ujian sample lembu terbabit pagi tadi.

“Pegawai veterinar memaklumkan lembu-lembu itu mati dalam keadaan mulut berbuih, organ keluar darah dan keadaan dalaman abnormal,” katanya.

Jelas Arshad, siasatan awal juga mendapati sebelum kejadian, ternakan tersebut tidak dimasukkan ke dalam kandang oleh pemiliknya

Sebaliknya kata beliau, kesemua lembu berkenaan dibiarkan berkeliaran mencari makan di dalam ladang kelapa sawit itu.

Setakat ini ujar beliau, tiada sebarang tangkapan dilakukan terhadap mana-mana pihak berhubung kejadian tersebut.

Kes berkenaan tambahnya, disiasat di bawah Seksyen 428 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat dan membunuh haiwan.

Sabit kesalahan jelasnya boleh dipenjara maksimum tiga tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Loading...
Terkini