comscore
Tumpuan :
Jenayah

6 ‘Orang Dalam’ Godam Sistem Ditahan

Dua kakitangan Jabatan Imigresen antara enam individu ditahan disyaki terlibat sindiket pemalsuan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) dan menggodam pangkalan Adata jabatan berkenaan.

Kesemua suspek berusia antara 35 hingga 42 tahun itu ditahan di sekitar ibu kota sejak malam tadi.

Sumber Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkata, empat lagi suspek adalah pekerja teknikal syarikat pembekal sistem.

Mereka ditahan bagi membantu siasatan kerana dipercayai bertanggungjawab memasang peranti dan perisian bagi tujuan menggodam Sistem Imigresen Malaysia (MyIMMs).

Menurut sumber, penahanan keempat-empat pekerja syarikat pembekal itu membawa kepada penemuan beberapa komputer di Jabatan Imigresen yang telah dilengkapi dengan peranti serta perisian penggodaman.

Menurut sumber itu lagi, penahanan terbaharu ini adalah lanjutan daripada operasi bersama-sama Jabatan Imigresen yang diadakan pada 6 April lepas di 22 lokasi di Kuala Lumpur dan Sungai Petani, Kedah.

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan penahanan terbaharu itu. 

SPRM melihat isu penggodaman ini sebagai perbuatan yang amat serius kepada aspek keselamatan negara. 

Kesemua suspek akan disiasat dalam penglibatan mereka yang bersekongkol dalam menggodam sistem imigresen.

Selasa lalu seorang bekas kakitangan Jabatan Imigresen antara lima individu yang disyaki membuka laluan kepada sindiket pemalsuan PLKS dan menggodam sistem pangkalan data imigresen dan SPRM turut membekukan sebanyak 147 akaun melibatkan 30 individu dan 11 syarikat membabitkan sejumlah RM9.9 juta.

Loading...
Terkini