comscore
Tumpuan :
Jenayah

6 Pakar IT Dicekup Bangun Perisian Godam, Kebas Duit Orang

Oleh Zahir Senapiah

JOHOR BAHRU: Sepandai-pandai tupai melompat, akhir jatuh ke tanah juga.

Itu nasib 6 pakar teknologi Maklumat (IT) yang dipercayai anggota sindiket penipuan dalam talian yang dicekup Polis Johor dalam satu operasi khas di Bukit Indah, Iskandar Puteri, dua hari lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, ini adalah kejayaan sulung polis Johor dan kes kedua di Malaysia membabitkan kes seumpama itu.

Kejayaan itu hasil risikan yang dijalankan sepasukan pegawai dan anggota polis Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman dan Johor.

Semua suspek warga tempatan itu ditahan kira-kira jam 3.30 petang dua hari lalu.

Suspek berumur 21 hingga 39 tahun.

“Kumpulan ini mempunyai kepakaran membangunkan aplikasi bagi tujuan memesongkan rangkaian (link) apabila orang ramai membeli barangan dalam talian.

“Modus operandinya bila orang nak buat bayaran dalam sistem internet dan sebagainya, dia masuk ke link itu dan mengodam maklumat yang ada serta membuat penambahbaikan termasuk menukar semua pasword sebagainya dan kemudian mereka gunakan untuk mengeluarkan wang tanpa pengetahuan pembeli,” katanya dalam satu sidang media di Ibu Oejabat Polis Kontijen Johor di sini, hari ini.

Foto: Ihsan PDRM Johor

Datuk Kamarul zaman berkata, hasil siasatan awal mendapati, 6 suspek itu mempunyai kemahiran dalam bidang teknologi maklumat dan mereka adalah graduan universiti tempatan.

Ia termasuklah pemilik syarikat, pembangun perisian dan pereka multimedia.

Cara operasi sindiket berkenaan adalah dengan mengiklankan jualan barang dengan harga murah di media sosial bagi menarik minat mangsa.

Mangsa kemudian akan menghubungi sindiket terbabit sebelum diberikan satu jaringan pautan untuk tujuan pembayaran.

Bagaimanapun, ketika bayaran dibuat menerusi pautan yang disediakan, mereka akan menggodam segala data yang diberikan mangsa, sehingga dapat mengakses akaun bank sekali gus mengambil wang tanpa disedari mangsa.

Dalam serbuan itu, pelbagai peralatan dirampas termasuk telefon bimbit, komputer, router wifi, cakera keras, dan kad akses serta kunci rumah yang dipercayai sebagai pusat operasi.

Katanya, polis tidak menolak kemungkinan sindiket itu turut menjual aplikasi yang dibangunkan kepada sindiket lain dengan harga mencecah 30 ribu ringgit.

Hingga kini sindiket terbabit mengaku telah menjual lebih 100 aplikasi kepada pihak lain.

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan Seksyen 120 kanun sama, kerana melakukan pakat jahat jenayah.

Loading...
Terkini