comscore
Tumpuan :
Jenayah

60 PATI sembunyi dalam ladang kelapa sawit ditahan

Bot dipercayai membawa PATI ke Indonesia terkandas di pesisir Pantai Bagan Sungai Tiang Darat, Selekoh. FOTO: Ihsan Polis.

BAGAN DATUK: Seramai 60 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia ditahan ketika bersembunyi di ladang kelapa sawit di Bagan Sungai Tiang Darat, Selekoh, di sini, hari ini.

Ketua Polis Perak Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, pergerakan kumpulan itu dikesan hasil maklumat orang awam yang melihat bot dalam keadaan mencurigakan tersadai di pesisir pantai di lokasi sama pada 3.45 pagi.

Katanya, pasukan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak bersama anggota Balai Polis Rungkup dan Batalion 3 Pasukan Gerakan Am Bidor serta Pasukan Polis Marin Kampung Acheh diatur gerak ke lokasi bot berkenaan.

“Pemeriksaan di situ mendapati tiada sebarang kehadiran warga asing di dalam bot, namun pemeriksaan lanjut di kawasan kebun sawit berhampiran menemukan 40 lelaki dan 20 wanita dipercayai warga Indonesia berumur lingkungan 20 hingga 64 tahun.

“Bot terbabit dipercayai dalam perjalanan ke Tanjung Balai, Indonesia namun tersadai akibat kerosakan enjin,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd Yusri berkata, hasil pemeriksaan terhadap semua warga asing berkenaan mendapati mereka tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah.

Beliau turut memaklumkan, pihaknya berjaya memberkas dua lelaki tempatan berumur lingkungan 38 tahun hingga 63 tahun yang memandu dua kereta berasingan, disyaki membawa migran haram itu.

“Semua tangkapan dan rampasan dibawa balik ke IPD Hilir Perak untuk tindakan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 55E Akta Imigresen 1959/63 serta Seksyen 6(1)(c) akta sama,” katanya yang meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan jenayah supaya menyalurkan kepada polis supaya tindakan pembanterasan dapat dilakukan segera.

Loading...
Terkini