comscore
Tumpuan :
Jenayah

Angkara ‘phone scam’, wanita terpedaya hampir RM400,000

Foto hiasan

TAIPING: Pengurus projek sebuah syarikat swasta di sini mendakwa diperdaya lima lelaki yang menyamar sebagai polis dan penghantar barangan menyebabkan beliau kerugian RM381,950.

Ketua Polis Perak Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu daripada seorang wanita berusia 57 tahun yang mendakwa diperdaya melalui ‘phone scam’.

Menurutnya, siasatan awal pihaknya mendapati mangsa menerima satu panggilan daripada seorang lelaki yang mendakwanya dari syarikat penghantar barangan dari Alor Setar, Kedah pada 18 Ogos lalu.

Katanya, pemanggil itu memaklumkan terdapat barangan yang dihantar individu tidak dikenali dari Sarawak pada 11 Ogos lalu.

“Lelaki berkenaan memaklumkan di dalam bungkusan itu terdapat kad kredit, cip kad pengenalan, kad kredit dan 100 keping wang palsu.

“Bagaimanapun mangsa menafikannya sebelum panggilan itu disambungkan kepada empat lagi lelaki yang memperkenalkan diri mereka sebagai ‘Dato’, anggota polis dari Alor Setar, Kedah dan Bukit Aman.

“Dalam perbualan itu, mangsa yang cemas diminta mendedahkan kesemua maklumat peribadi termasuk akaun bank malah turut diminta membuat pinjaman peribadi sebanyak RM 100,000,” katanya dalam kenyataan satu media hari ini.

Menurutnya, mangsa kemudiannya diarahkan memindahkan wang terbabit ke dua akaun bank yang diberikan.

“Dalam masa yang sama mangsa mula menyedari terdapat pindahan wang miliknya ke dalam 11 akaun berbeza melalui 18 transaksi berjumlah RM381,950 bermula 18 Ogos hingga 6 September lalu.

“Mengesyaki dirinya ditipu, mangsa kemudiannya membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping semalam,” katanya.

Menurut Mohd Yusri, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 kanun keseksaan dan orang awam dinasihatkan supaya lebih berhati-hati dengan panggilan daripada nombor telefon yang tidak dikenali.

Loading...
Terkini