comscore
Tumpuan :
Jenayah

Empat direman bantu siasatan kes kematian pelatih Puspen Perlop

Foto hiasan

SUNGAI SIPUT: Empat orang terdiri daripada seorang pelatih serta tiga kaki tangan Pusat Pemulihan Narkotik (Puspen) Perlop di sini, ditahan polis bagi membantu siasatan kematian seorang pelatih pusat pemulihan itu, Selasa lalu yang disyaki dibunuh.

Ketua Polis Perak Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, pihaknya menerima maklumat berkaitan kematian pelatih lelaki berusia 50 tahun itu jam 12.55 tengah hari.

Kata beliau, hasil siasatan awal mendapati, terdapat kesan kecederaan pada badan mangsa.

“Mayat dibedah siasat di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh.

“Hasil bedah siasat mengesahkan terdapat kecederaan di bahagian belakang badan si mati akibat dipukul menggunakan objek tumpul,” katanya pada kenyataan hari ini.

Mohd Yusri berkata, susulan itu, empat individu terbabit yang berusia 30 hingga 38 tahun ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Keempat-empatnya direman bermula semalam, sehingga 8 Februari ini.

“Kami menasihati masyarakat supaya tidak menularkan maklumat tidak sahih yang boleh mengganggu siasatan,” katanya. – HARIAN METRO

Loading...
Terkini