comscore
Tumpuan :
Jenayah

Bunuh penganggur: 4 sahabat direman seminggu bantu siasatan 

KUALA TERENGGANU: Mahkamah Majistret Kuala Terengganu melanjutkan tempoh reman selama seminggu bermula esok terhadap empat sahabat atas tuduhan membunuh seorang lelaki.

Majistret Noor Mazrinie Mahmood mengeluarkan perintah reman sehingga 4 Disember bagi membolehkan pihak polis meneruskan siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan (KK).

Empat lelaki yang berusia 35 sehingga 50 tahun itu dipercayai menyebabkan kematian ke atas mangsa, 45, di sebuah rumah di Kampung Gelugor Kedai di Kuala Terengganu, 19 November lalu.

Difahamkan, kejadian bermula dengan pertengkaran antara keempat-empat suspek dan mangsa sebelum berlaku pergaduhan.

Mangsa dipercayai dipukul dengan senjata tumpul.

Kejadian itu disedari rakan mangsa keesokan hari apabila mangsa dijumpai di bahagian dapur dengan kesan luka dan lebam seluruh badan sebelum disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan.

Pihak polis kemudian berjaya menahan tiga orang suspek di rumah sekitar daerah ini pada 20 November manakala suspek utama dicekup di daerah Marang ketika cuba melarikan diri.

Terdahulu keempat-empat mereka yang bekerja sebagai buruh direman selama tujuh hari bermula 21 November sehingga hari ini bagi membantu siasatan berhubung kes berkenaan.

Loading...
Terkini