comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Bomoh mengaku tidak bersalah cabul pesakit 

KUALA TERENGGANU: Seorang bomoh dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuala Terengganu atas pertuduhan mencabul kehormatan seorang wanita ketika memberi rawatan terhadap mangsa.

Tertuduh, Zainal Che Omar, 62 tahun, mengangguk faham ketika pertuduhan dibacakan, namun mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan itu yang dibacakan di hadapan Majistret Noor Mazrinie Mahmod.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa mencabul mangsa berusia 31 tahun.

Perbuatan dilakukan di sebuah kuarters kerajaan di Kuala Nerus, pada 26 Jun lalu, kira-kira jam 8 malam.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan.

Sabit kesalahan tertuduh boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua hukuman itu.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM4,500 dengan seorang penjamin dan menetapkan 5 Oktober depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa raya Nur Aisyah Mohamad dan tertuduh tidak diwakili peguam.

Loading...
Terkini