comscore
Tumpuan :
Jenayah

Cubaan seludup 700 liter diesel ke Thailand gagal

ALOR SETAR: Penguat kuasa mematahkan cubaan menyeludup 700 liter minyak diesel ke Thailand selepas merampas dua kenderaan berasingan, Sabtu dan semalam.

Dalam kejadian semalam, Pasukan Gerakan Am (PGA) Bukit Kayu Hitam menahan sebuah kenderaan jenis pikap bernombor pendaftaran asing menghala ke Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin Keselamatan (ICQS).

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kedah, Affendi Rajini Kanth, berkata anggota PGA menemui tangki tambahan mengandungi minyak diesel kira-kira 500 liter dan menyerahkan kes itu kepada KPDN.

“Pemandu tidak mempunyai kebenaran bertulis daripada pengawal bekalan berkaitan pemilikan barang kawalan berkenaan,” katanya hari ini.

Affendi berkata, pemandu berusia 21 tahun itu turut ditahan dan dikenakan perintah reman selama empat hari bermula hari ini hingga Khamis ini untuk membantu siasatan.

“Anggaran rampasan minyak diesel RM1,075, manakala rampasan keseluruhan dianggarkan sebanyak RM71,075.

Affendi berkata, dalam rampasan Sabtu lalu, penguat kuasa KPDN Alor Setar melakukan pemeriksaan terhadap sebuah lori dalam pemeriksaan Ops Statik di stesen minyak di Changlun jam 10 malam.

Beliau berkata, anggotanya memeriksa sebuah lori dan menemui sebuah tangki tambahan serta merampas minyak diesel sebanyak 200 liter.

Affendi berkata, kedua-dua kes itu disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dan dibaca bersama Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974.

Beliau berkata, jika disabitkan kesalahan, tertuduh boleh dikenakan denda iaitu bagi mana-mana orang perseorangan boleh didenda tidak melebihi RM1 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Loading...
Terkini