comscore
Tumpuan :
Jenayah

Curi kenderaan: 1225 individu ditangkap, nilai rampasan RM20.3 juta

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: 1225 individu ditahan polis di seluruh negara selepas disyaki terbabit jenayah curi kenderaan dalam tempoh empat bulan pertama tahun ini.

Ia hasil operasi dilancarkan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) melalui Op Lejang Khas yang turut membabitkan rampasan bernilai RM20.3 juta, termasuk RM19.8 juta nilai rampasan kenderaan.

Dalam kenyataan di Facebook, JSJ Polis Diraja Malaysia (PDRM) memaklumkan, pihaknya berjaya menumpaskan kegiatan curi kenderaan dengan penahanan 1225 individu membabitkan nilai rampasan RM20.3 juta dalam tempoh empat bulan sejak Januari.

“Berdasarkan statistik, sebanyak 6,709 kertas siasatan telah dibuka bagi kes kecurian kereta yang dilaporkan.

“Sebanyak 1049 serbuan melibatkan tangkapan seramai 1225 orang dan rampasan wang tunai sebanyak RM502,865.

“Dianggarkan nilai rampasan kenderaan adalah sebanyak RM19.8 juta bagi 847 kenderaan,” menurut kenyataan berkenaan.

Secara keseluruhan, operasi dijalankan berjaya menyelesaikan sebanyak 1,658 kes dan daripada jumlah itu, 639 kes atau 9.5 peratus kertas siasatan berjaya dituduh di mahkamah.

Polis turut meminta masyarakat untuk mengambil langkah pencegahan dengan menambah ciri keselamatan pada sistem kenderaan.

“Berdasarkan kajian yang dijalankan, sindiket ini tidak mencuri kenderaan yang dilengkapi sistem tambahan,” menurut kenyataan itu lagi.

Loading...
Terkini