comscore
Tumpuan :
Jenayah

Dua ‘transporter’ dicekup bersama dadah bernilai RM3.1 juta

Foto fail NSTP

GOMBAK: Dua lelaki ditahan dalam serbuan berasingan di sekitar Batu Caves, Ahad lalu dan turut dirampas dadah bernilai RM3.1 juta.

Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak menjalankan serbuan itu hasil maklumat orang awam.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, pihaknya merampas dadah jenis methampetamine seberat 93.824 kilogram (kg).

“Tangkapan pertama dibuat terhadap seorang mekanik warga tempatan berusia34 tahun di sekitar Batu Caves, di sini.

“Penahanan lelaki itu membawa kepada penemuan bungkusan lutsinar berlabel teh cina mengandungi dadah jenis methampetamine seberat 68.6 kg dalam yang disimpan dalam sebuah kereta Nissan Almera diparkir berhampiran kawasan berkenaan,”katanya pada sidang media, di IPD Gombak, hari ini.

Beliau berkata, polis turut menemukan 25 bungkusan sama yang mengandungi dadah jenis methampetamine seberat 25.26 kg di bahagian bonet kereta kenderaan berkenaan.

“Susulan itu kita menahan seorang lelaki warga Indonesia berusia 42 tahun dipercayai ahli sindiket di sebuah kondominum berhampiran lokasi serbuan,” katanya.

Menurut Hussein, siasatan mendapati modus operandi sindiket yang bergiat aktif sejak awal tahun ini dengan menjadikan premis seperti kediaman sebagai tempat menyimpan dadah sebelum diedar ke pasaran luar negara.

Katanya, pihaknya percaya kedua-dua tangkapan berperanan sebagai ‘transporter’ dan serbuan dibuat ketika dadah itu sedang transit dari satu tempat sebelum diambil ke tempat lain.

“Pemeriksaan mendapati suspek pertama mempunyai rekod lampau bersabit dua kes berkaitan dadah dan satu kes jenayah.

“Kedua-dua suspek direman tujuh hari bermula Isnin lalu hingga Ahad ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Tambah Hussein, pihaknya turut menyita dua kereta jenis Proton Perdana dan Toyota Estima dan wang tunai RM500 dan keseluruhan sitaan dan rampasan dadah dianggarkan bernilai RM3.22 juta.

“Kita percaya dadah dirampas boleh dibekal kepada 187,000 pengguna sehari. Pihak polis sedang mengesan saki-baki ahli sindiket berkenaan,” katanya.

Loading...
Terkini