comscore
Tumpuan :
Jenayah

Gaduh berkumpulan, polis cekup 6 lelaki

JOHOR BAHRU: Enam lelaki tempatan yang dipercayai terbabit dalam insiden pergaduhan berkumpulan menggunakan senjata tajam di hadapan sebuah premis di sini, Rabu lalu, ditangkap.

Semua suspek berusia 20 hingga 35 tahun ditahan dalam beberapa siri tangkapan sekitar bandaraya ini pada 18 November lalu hingga kelmarin.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, tangkapan pertama membabitkan empat lelaki yang sudah direman empat hari yang berakhir hari ini.

“Empat suspek itu kini dalam proses permohonan lanjutan reman bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan.

“Dua suspek yang diberkas kelmarin juga dalam proses permohonan reman.

“Punca pergaduhan masih dalam siasatan. Siasatan juga dijalankan sama ada pergaduhan ini ada kaitan dengan kongsi gelap atau tidak,” katanya.

Terdahulu dua video berdurasi enam saat dan satu minit 25 saat tular di Facebook (FB) memaparkan pergaduhan sekumpulan lelaki.

Video turut memaparkan sekumpulan lelaki mengejar dan memukul seorang lelaki menggunakan parang panjang.

Raub berkata, siasatan awal mendapati kejadian berlaku jam 11.25 malam, Rabu lalu.

Katanya, sehingga kini polis masih lagi mengesan beberapa suspek lain dalam insiden itu.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini