comscore
Tumpuan :
Jenayah

Insiden khianat rumah Ngeh Koo Ham: Seorang lelaki ditahan 

Foto hiasan

MANJUNG: Seorang lelaki disyaki terbabit insiden khianat dalam kebakaran di kediaman Ahli Parlimen Beruas, Datuk Ngeh Koo Ham ditahan polis hari ini.

Menurut Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri, suspek berusia 30-an ditahan bersama dua telefon bimbit di kawasan sekitar Shah Alam, Selangor jam 4 pagi tadi.

“Suspek direman lima hari sehingga Selasa depan bagi siasatan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan dan jika disabitkan kesalahan, boleh dihukum dengan penjara maksimum 14 tahun dan denda.

“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat boleh disalurkan kepada pegawai penyiasat, Asisten Superintendan Mohd Azalan Ab Karim di talian 019-3927837,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Terdahulu rumah Koo Ham di Taman Semarak Jaya, Ayer Tawar, di sini dibaling ‘molotov cocktail’ dipercayai menjadi punca kebakaran tiga kereta milik Penasihat DAP Perak itu termasuk siling di pekarangan rumahnya.

Ketika kejadian, Koo Ham dan isterinya sedang tidur di tingkat atas kediaman terbabit sebelum terjaga kerana deringan loceng rumah yang dibunyikan berkali-kali oleh jiran mereka.

Loading...
Terkini