comscore
Tumpuan :
Jenayah

Jangan Jadi Mangsa ‘Keldai Akaun’ – Polis Kelantan

Gambar Hiasan

Penduduk Kelantan diminta berwaspada agar tidak terjerat dengan sindiket scammer atau penipu yang dikesan semakin aktif mencari mangsa untuk dijadikan sebagai ‘keldai akaun’ terutama di kawasan perkampungan di negeri ini.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata, sindiket berkenaan menggunakan modus operandi penyamaran sebagai petugas Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dengan alasan untuk menyalurkan bantuan dengan mudah khususnya kepada warga emas.

Beliau berkata modus operandi itu sudah wujud sekian lama namun pihaknya mula mengesan ia semakin berleluasa sejak kebelakangan ini dengan lebih 10 laporan telah diterima membabitkan sindiket berkenaan dalam tempoh dua bulan pada tahun ini.

“Setakat ini, yang menjadi mangsa adalah orang kampung dan kita kesan mereka (sindiket) akan memaklumkan bahawa mereka daripada JKM dan meminta penduduk untuk membuka akaun bank bagi memudahkan penyaluran bantuan. 

“Selepas mereka (penduduk) buka akaun, mereka akan bagi wang bernilai RM200 kononnya permulaan bantuan awal selain akan mengambil kad bank mangsa dan hanya akan menyerahkan buku akaun. Rata-rata golongan yang menjadi sasaran adalah berusia 50 tahun ke atas,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir di Seminar Keselamatan Bersama Penggawa dan Penghulu Daerah Tumpat di Dewan Bunga Raya Pantai Sri Tujuh di sini hari ini, yang turut dihadiri oleh Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri Wan Roslan Wan Hamat. 

Mengulas lanjut, Shafein berkata pihaknya menasihatkan orang ramai agar tidak mudah terpengaruh sekiranya ada individu mengakui daripada mana-mana agensi yang meminta untuk membuka akaun bank.

“Ada masa selidik dahulu dengan saudara, penghulu kampung mahupun pihak polis untuk memastikan kesahihan mengenai perkara ini. Yang jadi hari ini, mereka tidak sempat untuk selidik memandangkan sindiket hanya memerlukan masa yang singkat dan cepat untuk melakukan kegiatan ini,” katanya. 

Sementara itu, dalam perkembangan lain beliau berkata sehingga kini, pihaknya telah menerima sebanyak 147 laporan membabitkan lebih 350 individu yang enggan menerima vaksin COVID-19.

“Bagaimanapun, setakat hari ini kita masih belum menerima laporan mengenai pemberian vaksin menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Kanak-Kanak (PICKids) memandangkan ia baru sahaja dimulakan.

           “Masyarakat juga diminta agar tidak terpengaruh dengan dakyah dan perkongsian negatif membabitkan vaksin COVID-19 memandangkan ia telah dibuat kajian demi kesejahteraan kesihatan semua. Pihak kami juga giat melakukan pemantauan sekiranya ada yang melakukan ‘posting’ (hantaran) menggugat keselamatan termasuk yang tular dalam media sosial,” katanya. – BERNAMA

Loading...
Terkini