comscore
Tumpuan :
Jenayah

Kematian Bayi Disyaki Akibat Hentakan Objek Tumpul Di Kepala

Foto hiasan

ALOR SETAR: Hasil laporan bedah siasat terhadap mayat bayi lelaki berusia tiga bulan yang dibunuh bapanya di sebuah rumah di Mukim Padang Hang, Isnin lalu mendapati mangsa mati akibat hentakan objek tumpul di kepala.

Ketua Polis Kedah, Datuk Wan Hassan Wan Ahmad, berkata hasil pemeriksaan lanjut yang dilakukan oleh pakar forensik turut menemui kesan luka selain lebam di beberapa bahagian badan bayi berkenaan.

Beliau berkata, hasil kecederaan pada bayi itu adalah disebabkan daripada objek tumpul dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Tempoh reman terhadap suspek sepatutnya berakhir esok dan kita akan merujuk kes itu pada Timbalan Pendakwa Raya dengan segera.

“Kalau boleh kita tuduh, kita akan tuduh terus, kalau tidak boleh tuduh kita akan sambung reman lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Ramah Mesra Media bersama Ketua Polis Kedah di Mess Pegawai, Jalan Kolam Air, di sini, hari ini.

Media sebelum ini melaporkan, mayat seorang bayi ditemukan di atas katil di dalam sebuah rumah sebelum bapanya yang berusia 28 tahun ditahan polis sejurus selepas itu.

Ketika kejadian isteri suspek berusia 22 tahun tiada di rumah dipercayai bergaduh dan dipukul suspek sebelum melarikan diri. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini