comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Elak kes tertinggal dalam kereta, taska & tadika diwajibkan hubungi ibu bapa

 

KUCHING: Operator Taman Asuhan Kanak-Kanak (Taska) dan Taman Didikan Kanak-Kanak (Tadika) diwajibkan menghubungi ibu bapa dengan kadar segera jika ada kanak-kanak tidak hadir ke kelas seperti biasa.

Peraturan baharu itu dilaksanakan dalam prosedur operasi standard (SOP) pengendalian Taska dan Tadika dalam usaha mengelak kejadian ibu bapa tertinggal anak di dalam kereta.

Gambar hiasan

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKK), Datuk Seri Nancy Shukri berkata, langkah itu dilaksanakan susulan kekerapan kes kanak-kanak maut selepas ibu bapa terlupa dan meninggalkan mereka di dalam kereta.

Menurutnya, Taska dan Tadika juga perlu mendapatkan nombor telefon tambahan kalangan ahli keluarga kanak-kanak selain ibu bapa bagi membolehkan tindakan segera diambil jika berlaku kecemasan.

“KPWKM memperbaharui SOP susulan tiga kes kanak-kanak maut selepas tertinggal di dalam kereta dalam tempoh dua bulan ini.

“Operator Taska atau Tadika wajib menghubungi ibu atau bapa jika ada kanak-kanak tidak hadir ke kelas kerana ia mungkin berlaku disebabkan salah faham seperti kemungkinan biasanya ibu yang menghantar anak.

“Tetapi pada hari itu tiba-tiba bapa pula yang menghantar dan dia terlupa ke Taska sebaliknya terus ke pejabat dengan anaknya terkunci di dalam kereta,” katanya kepada media selepas Majlis Malam Media Bersama Datuk Seri Nancy Shukri anjuran KPWKM dan Parlimen Santubong, di sini, malam tadi.

Nancy berkata, berikutan kekerapan kejadian kanak-kanak maut selepas tertinggal di dalam kereta, KPWKM menerima pelbagai reaksi serta cadangan daripada orang ramai bagi mengatasi masalah itu.

“Tetapi banyak cadangan itu bukan di bawah bidang kuasa KPWKM seperti melarang penggunaan cermin kereta gelap.

“Apa yang kami laksanakan ialah memperbaharui SOP Taska dan Tadika manakala yang lain seperti cermin kereta gelap itu bidang kuasa kementerian lain,” katanya.

Sementara itu, Nancy berkata, Jabatan Pembangunan Kanak-Kanak (JPKK) yang ditubuhkan pada 1 September lalu akan diletakkan di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sehingga tahun 2026.

Ini kerana katanya, beberapa perkara perlu diselesaikan antaranya pengisian perjawatan selain meminda beberapa akta berkaitan.

“Bagi pengisian jawatan, untuk tahun ini kami mengiklankan 169 jawatan dan sudah menerima sebanyak 11,000 permohonan, proses temuduga dijalankan berterusan.

“Tahun 2024 dan 2025 pula sebanyak 245 jawatan perlu diisi, sebab itu JPKK hanya akan mempunyai Ketua Pengarah sendiri dan keluar dari JKM pada 2026,” katanya.

Mengenai Tribunal Anti Gangguan Seksual, Nancy berkata, beliau sudah berbincang dengan Peguam Negara, Datuk Ahmad Terrirudin Mohd Salleh, berhubung 20 perjawatan yang perlu diisi.

“Jawatan presiden dan timbalan serta lima jawatan berkaitan perundangan kita perlu mendapatkannya dari Pejabat Peguam Negara manakala jawatan lain adalah kalangan mereka yang memang menjalankan tugas berkaitan gangguan seksual.

“Semua perjawatan itu perlu diisi dalam tempoh sehingga penghujung Disember ini,” katanya.

Selain itu katanya, beliau turut memohon agar diwujudkan jawatan di dalam tribunal berkenaan untuk mewakili Sabah dan Sarawak.

“Ia bagi memudahkan pengurusan kes di Sabah dan Sarawak kerana tribunal itu berpusat di Kuala Lumpur,” katanya.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini