comscore
Tumpuan :
Jenayah

Lebih RM45,000 rokok dan minuman keras seludup dirampas

BINTULU: Agensi Penguatkuasaan Maritim (Maritim) Zon Maritim Bintulu berjaya mematahkan cubaan menyeludup rokok dan minuman keras selepas merampas 15 buah peti rokok putih pelbagai jenama dan 95 karton minuman keras dalam satu operasi semalam.

Pengarah Zon Maritim Bintulu, Kepten Maritim Mohd Khairol Anuar Saad berkata, operasi sekitar jam 8.00 malam itu dilaksanakan disekitar pantai Samalaju bagi mengesan dan mengekang aktiviti penyeludupan barangan bercukai.

Katanya, ketika operasi terbabit, pihaknya mengesan lima individu sedang melakukan aktiviti pemunggahan barangan dipercayai rokok dan minuman keras yang cuba di seludup masuk ke Sarawak menerusi jalan laut.

 

“Lima suspek terbabit bagaimanapun berjaya meloloskan diri dengan menggunakan dua buah kenderaan jenis pacuan empat roda yang gagal dikesan nombor pendaftarannya.

“Keadaan cuaca yang gelap dan laut yang bergelora menyukarkan pasukan Maritim Malaysia untuk merapat ke pantai dengan cepat dan melakukan tangkapan,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, pemeriksaan lanjut terhadap barangan terbabit mendapati ia mengandungi 15 peti berisi rokok putih serta 95 karton minuman keras.

Hasil rampasan terbabit dianggarkan dianggarkan berjumlah RM 45,250 tidak termasuk cukai

“Barangan tersebut dibawa ke pejabat Zon Maritim Bintulu untuk siasatan lanjut dan kes akan disiasat di bawah Seksyen 135 Akta Kastam 1967 kerana melakukan aktiviti penyeludupan,” katanya.

Loading...
Terkini