comscore
Tumpuan :
Jenayah

Lelaki Ditahan Bersama Dadah Bernilai RM6.5 Juta

BUKIT MERTAJAM: Polis menahan seorang lelaki dan menumpaskan sindiket pengedaran dadah antarabangsa selepas merampas syabu seberat 112 kilogram (kg) dan bahan asas heroin (heroin base) 26.9 kg bernilai RM6.5 juta dalam serbuan di Permatang Pauh dan Nibong Tebal pada Isnin hingga semalam.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman Datuk Razarudin Husain berkata lelaki berumur 31 tahun itu ditahan berhampiran keretanya di tepi jalan di Permatang Pauh, di sini pada 2 petang Isnin lepas hasil maklumat dan risikan dijalankan polis sejak awal bulan ini.

“Pemeriksaan di dalam kereta itu, polis menemukan syabu seberat 20 kg dan heroin base sebanyak 26.9 kg yang kesemuanya bernilai RM3.06 juta dipercayai untuk dihantar kepada pelanggan di kawasan tersebut.

“Hasil soal siasat ke atas lelaki itu, polis kemudiannya menyerbu sebuah rumah di Nibong Tebal pada 11.30 pagi semalam dan merampas 92 bungkusan mengandungi syabu seberat 95.6 kg bernilai RM3.45 juta,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau berkata siasatan mendapati rumah itu disewa sindiket pengedaran dadah tersebut dan dijadikan sebagai stor untuk mereka menyimpan bekalan dadah sebelum menjual kepada pelanggan di sekitar Pulau Pinang serta beberapa negeri lain.

Razarudin berkata modus operandi sindiket itu ialah mendapatkan bekalan daripada rangkaian pengedaran dadah antarabangsa di Thailand dan transit di Pulau Pinang sebelum diedarkan kepada pelanggan tetap mereka sahaja bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

“Semua syabu yang dirampas itu dibungkus di dalam bungkusan teh herba cina bagi mengaburi pihak berkuasa dan siasatan juga mendapati sindiket tersebut menjalankan kegiatan berkenaan sejak bulan lepas malah turut mengedar dadah ke luar negara,” katanya.

Beliau berkata susulan penahanan lelaki itu, polis menyita tiga kereta, dua motosikal, jam tangan dan wang tunai yang kesemuanya bernilai RM65,000.

Beliau berkata siasatan mendapati lelaki yang ditahan tersebut bekerja dalam sektor swasta dan dia yang tidak mempunyai rekod lampau dipercayai antara orang penting dalam sindiket pengedaran dadah tersebut.

“Siasatan lanjut masih dijalankan termasuk mengesan rangkaian sindiket itu, lelaki itu kini direman hingga 26 April ini bagi membantu siasatan menurut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya dan menambah semua dadah bernilai RM6.5 juta itu boleh digunakan 2.4 juta penagih. – BERNAMA

Loading...
Terkini